Siakap Keli

Kanak-Kanak Lima Tahun Dijangkiti Rabies Di Sarawak – Uggah

KUCHING, 29 Mei  — Seorang kanak-kanak berusia lima tahun dari Taman Sanhill Barat, Sibu, menjadi mangsa terbaru dijangkiti rabies, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) memaklumkan kanak-kanak berkenaan digigit anjing peliharaannya pada 25 Mei lepas dan keadaannya dilaporkan stabil serta sedang menerima rawatan.

“Keputusan ujian pada 27 Mei 2020 melalui ujian ‘Antigen Rapid Rabies Ag Test’ menunjukkan bahawa anjing tersebut positif rabies dan sampel anjing tersebut juga telah dihantar ke Makmal Diagnosa Veterinar Sarawak untuk ujian makmal ‘Direct Fluorescent Antibody Technique’ (FAT),” katanya pada sidang media harian jawatankuasa itu di sini hari ini.

Wabak rabies pertama di Sarawak telah diisytiharkan pada 1 Julai 2017 kini telah memasuki tahun keempat namun ia masih terkawal dan sejak Januari 2020 sehingga 27 Mei 2020, JPVS telah menerima 1,254 jumlah notifikasi kes gigitan haiwan yang terdiri daripada 81.9 peratus haiwan bertuan dan 18.1 peratus haiwan liar.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Uggah berkata beliau telah mengarahkan semua agensi dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian untuk bersiap siaga menghadapi musim kemarau yang bakal tiba bagi memastikan semua logistik dan sumber manusia dapat digerakkan pada bila-bila masa.

“Saya juga ingin menasihati semua rakyat Sarawak untuk bersedia menghadapi musim kemarau dengan langkah-langkah seperti meminum air secukupnya, mengurangkan aktiviti di luar, elak daripada melakukan pembakaran terbuka, jangan membuang puntung rokok di kawasan belukar, memakai pelitup separuh muka dan menyimpan bekalan air secukupnya,” katanya.

Sumber: Bernama

Nurul Najiha