Siakap Keli

Kes Bunuh Diri Di Jepun Berkurang Ketika Pandemik COVID-19

Umum mengetahui Jepun merupakan antara negara yang bergelut dengan kes bunuh diri rakyat mereka. Setiap tahun statistik orang bunuh diri di Jepun sentiasa meningkat tidak mengira golongan umur.

Kadar yang semakin meningkat ini mungkin disebabkan depresi dan juga tekanan yang dilalui oleh rakyat mereka. Sebuah hutan di Jepun iaitu Hutan Aokigahara menjadi tempat yang paling terkenal kerana setiap hari akan ada kes rakyat Jepun bunuh diri di hutan tersebut.

Namun, melalui perkongsian helloDOKTOR kadar kes bunuh diri menurun di Jepun. Hal ini merupakan berita yang baik lebih-lebih lagi semasa dunia sedang bergelut menentang pandemik COVID-19. Ikuti perkongsian mereka.

Sepanjang wabak virus korona baharu (COVID-19), ramai individu yang mengalami tekanan perasaan dan tidak kurang juga, ramai yang disahkan murung,

Implikasinya terhadap tahap kesihatan seseorang sering menjadi tumpuan pakar di seluruh dunia.

Malah, Menteri Kewangan di sebuah negeri di Jerman, Thomas Schaefer yang berusia 54 tahun, turut membunuh diri ekoran kerisauannya terhadap tahap ekonomi sepanjang wabak pandemik.

Kebanyakan pakar bersetuju bahawa tindakan seseorang yang stres sehingga membawa kepada bunuh diri boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor luaran.

Bahkan, jika kita boleh mengubahsuai pemboleh ubah tertentu, jumlah kes bunuh diri boleh menurun berikutan penurunan pada faktor yang mempengaruhi peningkatan risiko pesakit.

Di Jepun sebagai contoh, menurut laporan berita, kadar bunuh diri di negara tersebut telah mengalami penurunan sebanyak 20% pada bulan April.

Namun, tidak banyak kajian yang pernah dijalankan bagi menerangkan apa yang sebenarnya berlaku sepanjang wabak melanda.

Percanggahan pendapat mengenai stres bunuh diri di seluruh dunia

Gambaran penuh berkenaan dengan kes bunuh diri dan wabak pandemik sukar untuk dibuat memandangkan tindakan membunuh diri boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.

Masih tiada lagi bukti yang jelas menunjukkan peningkatan kes ini sepanjang wabak pandemik melanda adalah disebabkan oleh wabak itu sendiri.

Pelbagai jenis punca perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum membuat konklusi berkenaan dengan mengapa ia berlaku.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pernah membuat andaian bahawa perintah berkurung boleh menyebabkan individu stres dan meningkatkan kadar bunuh diri.

Malah, beliau beranggapan bahawa perintah berkurung yang merupakan alternatif bagi menghalang penularan virus COVID-19 boleh memberikan implikasi teruk berbanding dengan jangkitan virus itu sendiri.

Melalui kesimpulan tersebut, beliau menganggar, kematian akibat bunuh diri akan melebihi jumlah mereka yang mati disebabkan COVID-19.

Walau bagaimanapun, situasi berbeza dengan apa yang berlaku di Jepun. Di Asia, Jepun merupakan salah sebuah negara dengan kadar bunuh diri tertinggi.

Namun, melihat kepada statistik kes pada April tahun ini dengan tahun lepas, penurunan sebanyak 19.8% merupakan dapatan positif daripada perintah berkurung yang dilaksanakan.

Oleh sebab tidak banyak kajian yang dilakukan bagi menyiasat fenomena ini, pelbagai jenis spekulasi timbul bagi mengadili penurunan kes tersebut.

Jenayah buli di sekolah dan di tempat kerja menurun, begitu juga kes stres bunuh diri

Jenayah buli lazim berlaku di sekolah dan di tempat kerja di seluruh dunia.

Di Jepun, kaji selidik nasional yang dibuat di antara tahun 2013 hingga 2015 telah menunjukkan 32 hingga 51% murid sekolah (lelaki dan perempuan) telah dibuli.

Perkara ini boleh menyebabkan kesan psikologi negatif jangka masa panjang dan masalah mental seperti keresahan dan kemurungan.

Sepanjang wabak pandemik berlaku, perintah berkurung telah menyebabkan penutupan sekolah, universiti dan sektor pekerjaan bukan kritikal.

Perkara ini menyebabkan kadar buli dan kes bunuh diri menurun.

Yasuyuki Shimizu, pengasas kepada organisasi penghindaran bunuh diri tidak berkeuntungan, Lifelink, turut bersetuju dengan perkara tersebut.

Walau bagaimanapun, faktor lain seperti semangat kekitaan dan solidariti semasa wabak berlaku turut boleh menjadi punca kepada penurunan kes tersebut.

Pelbagai jenis kempen atas talian seperti #stayathome dan sebagainya menggambarkan kerjasama di antara setiap pihak dalam membendung wabak.

Namun begitu, jika ikatan tersebut tidak berpanjangan, kes bunuh diri boleh melonjak tinggi kembali.

Sebagai contoh, ketika fenomena gempa bumi, tsunami dan nuklear pada tahun 2011 di Tohoku, Jepun, jumlah kes bunuh diri menurun.

Namun 2 bulan selepas itu, kadar kematian akibat stres bunuh diri meningkat.

Perkara ini jelas menunjukkan kepentingan aspek sosial dalam memastikan kesihatan mental berada pada tahap optimum.

Tekanan jiwa, keluarga dan wabak pandemik virus korona baharu

Tidak dapat dinafikan, anda akan berasa selamat jika bersama dengan keluarga.

Di Jepun, bagi sesetengah individu, sekolah merupakan tempat yang boleh memberikan tekanan.

Oleh sebab sekolah telah ditutup pada bulan April, maka tekanan perasaan tersebut kurang berbanding dengan bulan sebelumnya.

Namun begitu, lambat-laun, kerajaan Jepun perlu mencari jalan untuk membuka kembali sektor ekonomi bukan kritikal dan sistem pendidikan negara.

Jadi, adakah kes bunuh diri akan melonjak naik setelah perkara tersebut berlaku?

Spekulasi berkaitan dengan penurunan dan pengurangan kes bunuh diri masih spekulasi tanpa kajian.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa ikatan sosial antara manusia boleh mempengaruhi kesihatan mental individu terlibat.

Masih terlalu awal untuk kita membuat andaian berkenaan dengan apa yang berlaku di Jepun.

Namun, faktor kehilangan pekerjaan dan sumber kewangan boleh menyebabkan peningkatan pada jumlah kes ini secara global.

Perkara tersebut tidak seharusnya dipandang ringan!

Konklusi berkaitan penurunan kes sepanjang wabak COVID-19

Masih tiada lagi bukti saintifik melalui kajian berkenaan dengan hubungan di antara kes bunuh diri dan wabak pandemik virus korona baharu.

Sama ada ia menjurus ke arah kesan negatif atau positif hanyalah berdasarkan spekulasi setakat ini.

Sumber: helloDOKTOR

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.