Siakap Keli
Gambar: Google

Loji Air Sg Selisik Belum Beroperasi Sehingga 7 Malam Tadi

KUALA LUMPUR, 28 Mei  — Lapan kawasan di Hulu Selangor masih mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran sumber air mentah akibat tumpahan minyak diesel semasa kemalangan melibatkan sebuah lori tangki diesel di Lebuhraya Utara Selatan KM 389.5 Behrang, Selangor petang semalam.

Kawasan terbabit ialah Kampung Sungai Nilam atau Kampung Seri Pagi, Kampung Lalang Sungai Selisek, Rumah Murah Pkt 2, Kampung Serigala, Kampung Orang Asli Serigala, Kampung Bahom, Kampung Sekolah dan kuarters klinik serta Kampung Gesir Tengah.

Sehingga 7 malam ini, Loji Rawatan Air Sungai Selisik belum beroperasi berikutan kejadian itu, kata ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata usaha terus digerakkan oleh pelbagai agensi untuk memastikan pencemaran air mentah dapat dikawal dengan segera termasuk tindakan Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak yang giat menyedut saki -baki diesel di lebuh raya itu bagi memastikan lebihan aliran diesel tidak memasuki kawasan sungai.

“Air Selangor terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terlibat bagi mengagihkan bantuan bekalan air kecemasan kepada pengguna,” katanya.

Syarikat itu juga akan mengemas kini maklumat pemulihan bekalan air ke kawasan gangguan kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Pengguna turut dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemat.

Air Selangor juga menggalakkan pelanggan memuat turun aplikasi Air Selangor di telefon pintar menerusi App Store atau Google Play untuk maklumat terkini bekalan air.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd