Siakap Keli
anak demam hospital
Kredit: Google

Mak Ayah Perlu Segera Bawa Anak Demam Ke Hospital Jika Ada 8 Tanda-Tanda Ini

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Siapa yang tidak risau apabila anak tersayang jatuh sakit. Pasti ramai yang tak tidur lena memantau si anak yang kurang sihat.

Demam merupakan perkara yang agak kerap berlaku dalam kalangan anak-anak sama ada sebagai respon kepada suntikan imunisasi mahupun reaksi badan kepada sesuatu jangkitan.

Justeru, ibu bapa perlu mengetahui apa yang sepatutnya dilakukan bagi merawat anak tersayang. Adakah cukup sekadar merawat dari rumah atau perlu ke hospital?

Seorang pengamal perubatan, Dr Farahwahida Othman menjelaskan bila sepatutnya ibu bapa perlu membawa anak ke unit kecemasan hospital jika mereka demam.

Berikut adalah perkongsiannya.

1. Apabila mak ayah dah beri ubat demam secara konsisten (dengan dos yang betul) iaitu 4 kali sehari berserta Tepid Sponging secara konsisten tetapi demam masih tidak kebah selepas 3 hari melakukannya.

2. Demam berserta sawan/tarik/nyentok. Hendaklah segera bawa ke kecemasan. (ini tak perlu tunggu 3 hari) .

3. Demam berserta muntah atau cirit-birit yang berterusan. (Segera dapatkan rawatan kerana budak-budak mudah mengalami dehidrasi)

4. Demam berserta batuk dan/atau sukar bernafas. Selalunya anak-anak akan nampak nafasnya seperti berombak serta laju ketika tidur.

5. Demam yang menyebabkan anak nampak lemah, lesu, atau tidak sedarkan diri. (Terus ke kecemasan hospital yang berdekatan)

6. Demam berserta kurang kekerapan menyusu atau pun kurang makan dari hari-hari biasa. (Kurang separuh dari kebiasaan anak-anak menyusu/makan semasa dia sihat)

7. Anak yang berumur 3 bulan ke bawah mengalami demam. Wajib bawa mendapatkan rawatan doktor .(Tak perlu tunggu 3 hari di rumah baru bawa jumpa Dr)

8. Demam berserta perubahan sikap serta tingkah laku anak. Segera dapatkan rawatan.

Anak adalah Anugerah dari Allah. Jadi Kita sebagai ibu bapa harus menjaga amanah ini.

Sekiranya anak mengalami demam biasa, boleh la dirawat di rumah dengan memberi ubat demam serta jelum dahulu di rumah.

Jangan tunggu waktu malam baru nak cari ubat demam untuk anak atau membawa anak menerima rawatan doktor disebabkan kita sibuk bekerja disiang hari.

Unit Kecemasan & Trauma adalah unit khas yang menerima kes-kes kecemasan. Antara zon yang diutamakan di kecemasan adalah pesakit di Zon Merah.

Semoga sedikit perkongsian ini memberi sedikit gambaran kepada semua tentang bila masa perlu Kita bawa anak yang demam ke kecemasan.

Sumber: Dr Farahwahidah Othman

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.