Siakap Keli
Gambar: Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid - Bernama

Ujian Saringan Covid-19 Ke Atas Kontak Rapat Ketua Audit Negara, Negatif

Putrajaya: Keputusan ujian saringan COVID-19 ke atas semua kontak sangat rapat dan kontak rapat, kepada Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid yang dijalankan pada 22 Mei, adalah negatif.

Jabatan Audit Negara (JAN) dalam kenyataan hari ini menyatakan, kontak sangat rapat seramai 10 orang tersebut merujuk kepada dua ahli keluarga dan lapan kakitangan di Pejabat Ketua Audit Negara.

Kesemua keputusan ujian saringan terhadap 34 pegawai JAN yang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada Ketua Audit Negara, termasuk tiga Timbalan Ketua Audit Negara juga negatif, kata jabatan itu.

”Bagaimanapun, berdasarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak COVID-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), semua pegawai tersebut perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari,” kata JAN mengenai status terkini kes COVID-19 di jabatan itu.

Mengenai keadaan kesihatan Nik Azman yang dikuarantin di Hospital Sungai Buloh sejak 21 Mei, JAN memaklumkan beliau telah menjalani dua ujian swab semasa dalam wad.

”Hasil kedua-dua ujian tersebut adalah negatif. Namun, berasaskan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau masih perlu dikuarantin di hospital untuk tempoh tertentu,” katanya.

Pada 23 Mei, JAN mengesahkan satu memo memaklumkan bahawa Ketua Audit Negara positif COVID-19 dan akan dikuarantin di hospital, yang tular, telah dikeluarkan oleh beliau sendiri.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.