Siakap Keli

30 Ditahan Leka Berparti Langgar PKPB Di Ipoh

IPOH, 30 Mei  — Seramai 30 individu ditahan kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul dan mengadakan parti persendirian di dua lokasi berasingan di sekitar Ipoh, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata dalam serbuan pertama, seramai 14 lelaki termasuk penganjur dan empat wanita yang berumur antara 17 hingga 26 tahun ditahan dalam Ops COVID dan Ops Noda oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Beliau berkata dalam serbuan pukul 2 pagi di sebuah pangsapuri di Jalan Meru Impian di sini, polis mendengar bunyi muzik kuat sebaik tiba di premis berkenaan dan bertindak memecahkan pintu apabila penghuni gagal membuka pintu selepas beberapa kali diminta berbuat demikian.

“Dan setelah berjaya membuka pintu, ada penghuni yang cuba melarikan diri dalam keadaan muzik yang masih terpasang. Hasil soal siasat, kesemua mereka yang ditahan gagal memberi alasan munasabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, ada antara mereka pernah ditahan atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan masih mengulanginya termasuk penganjur lelaki berusia 24 tahun.

A. Asmadi berkata pihaknya turut merampas peralatan muzik iaitu sebuah pembesar suara Soni Gear, dua buah pembesar suara kecil serta sebuah telefon bimbit jenama iPhone 7 plus.

Katanya kesemua 18 suspek itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan juga Peraturan Seksyen 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Sementara itu, seramai 12 lelaki berumur antara 22 hingga 50 tahun ditahan ketika sedang menikmati minuman keras di sebuah ruang rehat di Jalan Veerasamy di sini, pukul 1.30 pagi tadi.

Katanya kesemua mereka ditahan kerana disyaki melanggar arahan PKPB dalam serbuan Ops COVID yang dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPD Ipoh.

“Pihak polis telah merampas satu salinan lesen Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) jenis perniagaan kedai makan atau restoran dan satu salinan lesen MBI jenis perniagaan dewan muzik,” katanya.

Sumber: Bernama

Nurul Najiha