Siakap Keli

APMM Kesan 9,048 Bot, Kapal Mencurigakan Sepanjang PKP Dan PKPB

PELABUHAN KLANG, 30 Mei  — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan 9,048 kapal dan bot dalam keadaan mencurigakan di perairan negara sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 18 Mac hingga 13 Mei lepas.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata kira-kira 20 peratus daripada jumlah bot dan kapal berkenaan berjaya dipintas pihaknya dan ia biasanya dikesan ‘keluar’ menjalankan ‘aktiviti’ ketika air pasang atau pada waktu malam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Taktik mereka ini dengan anggapan APMM tidak memantau atau melakukan operasi pada waktu tersebut jadi kononnya inilah masa mereka mahu cuba bolos (memasuki perairan negara).

“Tapi kita sebenarnya lebih bersedia kerana pemantauan perairan negara dilakukan 24 jam melalui kapal induk yang dilengkapi bot pemintas dan sistem pengesanan radar iaitu Sistem Awasan Laut (Swasa),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Zubil ditemui ketika mengiringi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon meninjau kesiapsiagaan aset APMM, Kapal Maritim (KM) Pekan yang berlabuh kira-kira 20 batu nautika di perairan Selangor dari jeti Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang.

KM Pekan yang berpangkalan di APMM Pahang didatangkan khas ke perairan Selat Melaka dan bertindak selaku kapal induk bagi memantapkan lagi usaha membanteras jenayah rentas sempadan selain mengekang penularan wabak COVID-19 oleh pendatang asing dalam pelaksanaan Op Benteng.

Mohd Zubil berkata susulan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia ketika ini, APMM memperketatkan kawalan maritim dan mengambil pendekatan mengusir terus pendatang asing yang dikesan membolosi sempadan perairan negara daripada menahan mereka.

“Tindakan ini bagi mengelakkan anggota dan pegawai APMM berhadapan risiko dijangkiti COVID-19 kerana kita tidak tahu dari mana pendatang asing itu datang dan adakah mereka bebas jangkitan wabak.

“Sepanjang operasi dalam tempoh PKP dan PKPB ini, tidak ada lagi tindakan diambil ke atas mana-mana bot mencurigakan yang membawa masuk pendatang asing, cuma ada bot dikesan hendak membawa keluar warga asing tanpa izin dan kita terus usir,” katanya.

Sumber: Bernama

Nurul Najiha