Siakap Keli

Isu Pemandu Mabuk: Cadangan Pindaan Akta 333 Dibawa Ke Persidangan Parlimen Terdekat – Menteri

Cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan akan dibawa ke persidangan parlimen terdekat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tersebut adalah berikutan pemerhatian serius dan tindakan tegas kerajaan dalam usaha menangani isu kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk.

“Antara pindaan yang dibuat bukan sahaja membabitkan peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, iaitu Seksyen 44 (Akta 333), tetapi juga memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan mengikut Seksyen 45 akta sama, walaupun tidak terlibat dalam apa-apa kemalangan.

“Kerajaan juga amat menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menetapkan hukuman penjara mandatori ke atas pemandu yang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk (Seksyen 45) mengikut peruntukan sedia ada masih merupakan kuasa budi bicara (discretionary power) mahkamah,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi hari ini.

Dalam pada itu, jelas Takiyuddin, sebagai langkah pencegahan (deterrent), pihak kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes yang melibatkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302, iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307, iaitu cubaan membunuh dengan niat.

“Di samping itu, pihak polis juga perlu membantu keluarga mangsa kemalangan maut akibat pemandu mabuk, terutama bagi membolehkan mereka membuat tuntutan sivil di mahkamah sebagai hak mereka di sisi undang-undang.

“Meskipun kerajaan bertegas dalam isu kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, ia tidak bermakna kerajaan menafikan hak orang bukan Islam untuk meminum minuman keras.

“Mereka bebas berbuat demikian, selagi mematuhi segala peruntukan undang-undang yang berkaitan dengannya,” tambahnya lagi.

Sumber: Twitter

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.