Siakap Keli

Polis Patahkan Cubaan Dua Lelaki Curi Sarang Burung Walit

IPOH, 29 Mei — Cubaan dua lelaki yang memecah masuk sebuah bangunan untuk mencuri sarang burung walit di Pekan Selama dekat sini, gagal, apabila mereka ditahan polis dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Selama DSP Mohd Sabri Saad berkata, bertindak atas maklumat, unit rondaan Balai Polis Selama dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Selama, menyerbu bangunan dua tingkat itu sebelum memberkas kedua-dua suspek berusia 21 dan 25 tahun, kira-kira 2.30 pagi.

“Polis turut merampas dua bungkusan plastik berisi sarang burung walit, sebilah pisau, dua pengikis, sebuah beg galas dan seutas tali nilon,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai memasuki premis itu melalui bumbung bangunan dan ketika serbuan, mereka bersembunyi di atas siling bangunan, namun berjaya ditangkap.

Katanya pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah, dan jenayah.

“Mereka kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin hadapan,” katanya.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, kerana memecah masuk.

Sumber: Bernama

Nurul Najiha