Siakap Keli
Gambar: The Independent

Seorang Maut, 40 Ditahan Dalam Rusuhan Di Detroit, AS

WASHINGTON, 30 Mei (Bernama) — Seorang terbunuh manakala lebih 40 yang lain ditahan dalam rusuhan besar-besaran yang tercetus di bandar Detroit Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Sputnik.

Mangsa merupakan penunjuk perasaan dilaporkan maut apabila seorang suspek tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah orang ramai sambil memandu kereta, menurut ketua polis Detroit, James E Craig, memetik Detroit News.

Craig berkata polis cuba mengesan suspek dan tiada pegawai polis terlibat dalam kejadian itu.

Rusuhan bermula pada Selasa di beberapa bandar di AS susulan kematian George Floyd, lelaki kulit hitam, ketika ditahan anggota polis di bandar Minneapolis.

Kematian Floyd, 46, mencetuskan kemarahan apabila seorang pegawai polis kulit putih Derek Chauvin bertindak di luar batas kemanusiaan ketika menahan mangsa.

Rakaman video menunjukkan Chauvin menekan lututnya di leher mangsa walaupun Floyd berulang kali mengatakan “tolong saya tidak boleh bernafas”.

Floyd disahkan meninggal dunia di sebuah hospital tempatan pada Isnin petang.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story