Siakap Keli

(Video) Tular Rakaman Dari Sudut Berbeza Insiden George Floyd, Dakwa Tiga Pegawai Polis Tindih Lelaki Itu

Tular satu lagi video yang memaparkan George Floyd ditindih 3 orang anggota polis Minneapolis ketika menahannya.

Klip rakaman tersebut dapat menunjukkan sudut yang berbeza daripada video yang telah tular sebelum ini.

Dalam klip rakaman itu, Floyd dapat didengari berulang kali memberitahu kepada pegawai-pegawai polis berkenaan bahawa dia tidak boleh bernafas.

“Tolong, tolong benarkan saya bangun,” rayu Floyd kepada pegawai-pegawai polis yang sedang menindihnya beramai-ramai.

Sudut yang ditunjukkan melalui klip ringkas tersebut berjaya memaparkan seramai tiga orang pegawai yang telah bertindak menindihnya.

“Tolong, saya tidak boleh bernafas. Perut saya sakit. Leher saya sakit. Tolonglah. Saya tidak boleh bernafas.” rayu Floyd dalam klip berkenaan.

Salah seorang daripada pegawai polis tersebut kemudiannya telah bertindak menyuruh individu yang merakam klip tersebut menjauhkan diri daripada kawasan itu, sambil kedengaran Floyd sedang mengerang kesakitan.

Laporan bedah siasat berkenaan punca kematian Floyd masih belum dikeluarkan lagi. Pun begitu, pihak bomba melaporkan bahawa nadi Floyd sudah tidak berdenyut dan tidak bertindak balas.

Menurut laporan daripada kejadian itu, anggota paramedik telah memeriksa nadi Floyd sebanyak beberapa kali dan telah pun berusaha untuk menghidupkannya semula.

Keempat-empat pegawai polis Minneapolis yang terlibat dalam penahanan George Floyd itu dilaporkan telah dipecat pada hari Selasa lalu.

Pemecatan tersebut telah diumumkan sendiri oleh Datuk Bandar, Jacob Frey menerusi ciapan di akaun Twitternya dengan menyatakan: “Ianya adalah keputusan yang tepat.”

Menurut Frey, dia menganggap bahawa kematian Floyd ini adalah satu kejadian pembunuhan dan secara terbukanya telah meminta supaya anggota polis berkenaan ditahan.

“Saya bukanlah seorang pendakwa raya, tapi biar saya jelaskan. Pegawai yang menahan orang itu telah membunuhnya,” katanya kepada CBS. “Dia mungkin akan hidup sehingga ke hari ini sekiranya dia berkulit putih.”

“Berdasarkan fakta yang saya lihat ini, saya yakin bahawa kejadian ini melibatkan isu perkauman”, ujarnya.

Satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Polis Minneapolis pada Selasa dilaporkan tidak menyertakan sekali berkenaan insiden tersebut secara terperinci.

Bahagian Floyd merayu kepada pegawai-pegawai polis berkenaan telah didakwa tidak disertakan sebaliknya hanya menyebut bahawa Floyd mengalami ‘tekanan’ ketika ditahan.

Kematian Floyd telah mencetuskan kemarahan warga tempatan di Minneapolis, dengan ramai yang dilaporkan turun ke jalanan untuk memprotes.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa