Siakap Keli

FAM Boleh Merayu Untuk Sambung Liga Selepas PKPB Ini Berakhir- Menteri

Perlawanan bola sepak tanpa penonton belum lagi dibenarkan setakat ini, umum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri.

Jelasnya, aktiviti sukan tersebut melibatkan hubungan fizikal secara langsung antara sesama pemain melalui aksi pertembungan serta keadaan badan yang berpeluh.

Selain itu, kebenarannya juga adalah bergantung kepada tarikh tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Bagaimanapun, apabila PKPB ditamatkan..kita akan minta nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kalau perlu sambung, kita sambung, kalau perlu tamat, kita tamat.

“Tapi kalau kita sambung lagi, selepas tarikh terakhir PKPB ini, maka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh merayu atau memohon kepada kita untuk kita memberikan kebenaran kepada mereka.

“Tetapi bila tarikh yang kita nak berikan kebenaran itu, tertakluklah kepada perbincangan yang kita lakukan,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Ismail berkata demikian setelah menjawab persoalan wartawan mengenai beberapa liga perlawanan bola sepak luar negara yang mula mengamalkan konsep tanpa penonton tersebut.

Mengulas lanjut, Ismail menambah, prosedur operasi standard (SOP) bagi sukan tersebut mungkin boleh dirangka lebih awal dan boleh disertakan sekali ketika permohonan rayuan itu.

Jangan buat SOP sendiri

Dalam pada itu, pihak persatuan bola sepak negeri juga dinasihatkan agar tidak mengeluarkan SOP sendiri kerana setiap keputusan untuk liga bola sepak akan ditentukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di peringkat pusat.

“Saya tidak mahu nanti ada negeri yang telah mengeluarkan arahan dan sebagainya untuk membenarkan (latihan dan perlawanan).

“Ianya salah dan melanggar peraturan di bawah Akta 342,” tegasnya lagi.

Kenyataan tersebut boleh dirujuk pada minit ke 33.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'