Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan bahawa tiada lagi keperluan kementerian tersebut untuk menerima sumbangan dana daripada syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.
Menurut satu kenyataan rasmi hari ini, hal tersebut adalah berikutan jumlah kes jangkitan baharu COVID-19 yang semakin menurun saban hari.
“Sehubungan dengan itu, tarikh akhir ditetapkan bagi penerimaan sumbangan tunai adalah pada 31 Mei 2020 (hari ini).
“KKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian syarikat, NGO dan orang ramai yang telah tampil ke hadapan untuk memberi sumbangan kepada KKM dalam usaha menangani wabak COVID-19,” jelas kenyataan tersebut.
Mengimbas kembali, KKM pada 23 Mac lalu telah menubuhkan satu akaun amanah atas nama Akaun Amanah Pembelian Alat Kelengkapan, Keperluan Perubatan, Kemudahan dan Perkhidmatan di Fasiliti Kesihatan KKM bagi membolehkan orang awam menyumbang dana.
Sumbangan tersebut digunakan untuk membeli keperluan perubatan seperti ventilator, ubat-ubatan, reagen, bahan pakai buang serta keperluan perubatan lain di fasiliti KKM.
“Sehingga 19 Mei 2020, sebanyak RM28,507,468.34 telah disumbangkan secara tunai oleh syarikat, NGO dan orang ramai ke Akaun Amanah Khas ini.
“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM27,019,776.00 telah dilulus oleh Jawatankuasa Akaun Amanah untuk dibelanjakan bagi pembelian peralatan, keperluan perubatan dan bayaran kemudahan berkaitan.
“Bagi baki sumbangan yang masih belum dibelanjakan, ia perlu dilulus dan dipertimbangkan dalam jawatankuasa berkaitan yang ditubuhkan di kementerian,” tambah kenyataan itu lagi.
Kenyataan Akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia
Penamatan Penerimaan Sumbangan Tunai Bagi Akaun Amanah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM): Akaun Amanah Pembelian Alat Kelengkapan, Keperluan Perubatan, Kemudahan & Perkhidmatan di Fasiliti Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia pic.twitter.com/q8pLcRMW14— KKMPutrajaya (@KKMPutrajaya) May 31, 2020
Sumber: KKM