Siakap Keli
covid-19 perokok
Kredit: Bernama/Google

Perokok Berisiko Tinggi Untuk Dapat Komplikasi Lebih Teruk Jika Dijangkiti COVID-19 – KKM

Putrajaya, 31 Mei – Perokok mempunyai risiko lebih tinggi mengalami komplikasi COVID-19 berbanding individu bukan perokok, lapor Kementerian Kesihatan (KKM). Hal ini menjadikan risiko kematian pesakit COVID-19 yang merokok adalah lebih tinggi berbanding pesakit yang tidak merokok.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, merokok merosakkan fungsi paru-paru dan menjadikan badan pesakit lebih sukar melawan koronavirus dan penyakit lain.

“Terkini Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 dilancarkan baru-baru ini iaitu pada 29 Mei 2020 menunjukkan prevalens rakyat Malaysia menghidap darah tinggi adalah sebanyak 30 peratus dan penyakit kencing manis sebanyak 18.3 peratus.

“Golongan ini berisiko mendapat komplikasi teruk jika dijangkiti COVID-19 apatah lagi jika punyai risiko tambahan seperti amalan merokok.

“Memandangkan 21.3 peratus rakyat Malaysia dianggarkan merokok, maka mereka lebih terdedah kepada komplikasi COVID-19 berbanding mereka yang tidak merokok.

“Penelitian dan analisa awal berkaitan sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang telah dijalankan ke atas 86 dari jumlah pesakit COVID-19 yang telah meninggal dunia di Malaysia mendapati 19.8 peratus (17 orang) adalah terdiri daripada golongan perokok.

“Analisa juga mendapati bahawa kes kematian COVID-19 yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik tetapi merokok, jumlah kematiannya adalah lebih tinggi berbanding kes kematian COVID-19 yang bukan perokok, iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.”

Susulan itu, beliau turut menggalakkan perokok yang berniat untuk berhenti namun terbatas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“KKM dengan kerjasama pihak Persatuan Farmasi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyediakan perkhidmatan kaunseling berhenti merokok atas talian.”

Perokok juga boleh mendapatkan maklumat bahaya merokok dan COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera dan laman sesawang www.jomquit.moh.gov.my.

Sumber: KKM

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.