Siakap Keli

(Video) Kisah Lelaki Sesat Di Kawasan Gunung, Seekor Kucing Tiba-Tiba Muncul Jadi Penyelamat Penunjuk Arah

Kucing adalah salah satu haiwan yang sangat comel dan bijak.

Hampir kesemua manusia di dunia ini menggemari kucing dan membelanya sebagai haiwan peliharaan di rumah.

Namun, si comel itu bukan sahaja mampu menjadi peneman manusia, malah kewujudannya juga boleh menjadi penyelamat dalam satu-satu masa tertentu.

Perkara ini pernah dirasai sendiri oleh seorang lelaki warga Hungary yang tersesat dalam pendakian di sebuah kawasan pergunungan di Swirtzerland satu masa dahulu.

Suasana perkampungan Gimmelwald di Swirtzerland. Gambar: Agensi

Lelaki berkenaan yang menggunakan nama sc4s2cg dalam aplikasi Reddit menceritakan, kejadian itu berlaku ketika dia sedang meneroka (mendaki) pergunungan di kawasan kampung Gimmelwald, Bernese Oberland.

Difahamkan pada waktu itu, dia tersesat dan tidak pasti arah mana yang dia boleh lalui untuk pulang ke bilik inapnya selepas mendapati satu-satunya jalan di situ telah ditutup.

Tambahan pula, kakinya mengalami sakit terseliuh ketika itu.

Si kucing misteri yang muncul tiba-tiba

Sedang buntu berfikir, tiba-tiba muncul seekor kucing yang tidak diketahui tujuannya berada di situ.

“Kucing itu berkeliaran di kawasan sekeliling, kemudian ia menemui saya ketika sedang berehat sebentar sejurus mendaki.

“Kemudian, ia berjalan dan sentiasa memandang ke arah saya untuk mengikuti dan membawa saya ke arah jalan yang menuju ke arah lembah (tempat asal),” katanya, memetik laporan Telegraph.

Kucing ‘misteri’ yang muncul tiba-tiba dan memberikannya arah petunjuk. Gambar: REDDIT/SC4S2CG

Lelaki tersebut merakam video detik indah bersama kucing penyelamat itu dan dimuat naik ke Youtube beserta sari kata bahasa Inggeris.

Ia jelas menunjukkan rasa bersyukurnya kerana kehadiran kucing tersebut telah menyelamatkannya daripada terdampar kesejukan pada malam hari di kawasan gunung itu.

Berikut adalah rakaman videonya itu:

Selamat tinggal kucing hero

Sejurus kedua-dua ‘pasangan’ itu tiba di perkampungan di tempat asal (lelaki itu), kucing tersebut kelihatan ‘hilang minat’ lalu mereka pun berpisah dengan ucapan, “Semoga kita berjumpa lagi,” oleh lelaki berkenaan.

Sementara itu, terdapat beberapa respon daripada kalangan netizen yang menyatakan bahawa mereka juga pernah menjumpai kucing yang sama ketika berada di kawasan itu.

Dakwa mereka, kucing itu adalah kucing bela yang dibela oleh salah seorang pemilik bilik inap di bandar tersebut.

Kejadian ‘comel’ itu berlaku pada tahun 2016 lalu.

Untuk rekod, perkampungan Gimmelwald terletak dalam kawasan Jungfrau-Aletsch yang telah diiktiraf sebagai kawasan Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik & Pendidikan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sumber: Telegraph, Reddit

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.