Siakap Keli

COVID-19: Thailand Lapor Sifar Jangkitan Tempatan Tujuh Hari Berturut-turut

BANGKOK, 1 Jun  — Thailand melaporkan sifar jangkitan tempatan COVID-19 sepanjang tujuh hari lepas dengan hanya satu kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu melibatkan wanita Thai yang menjalani kuarantin 14 hari di Chonburi selepas kembali dari Rusia.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19  Thaweesilp Wissanuyothin berkata setakat ini, jumlah kes terkumpul  COVID-19 di negara itu ialah 3,082 dengan 57 kematian.

“Seramai 29,725 warga Thai sedang menjalani kuarantin di fasiliti kerajaan selepas kembali dari luar negara. Setakat ini,  seramai 145 orang telah diuji positif COVID-19 semasa menjalani kuarantin,” katanya pada sidang media COVID-19 harian, di sini hari ini.

Katanya daripada 3,082 kes COVID-19 di negara itu, seramai 2,965 pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital sementara 60 masih dirawat dan tidak ada kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bermula hari ini, Thailand melaksanakan fasa ketiga kelonggaran terhadap larangan yang dikenakan sebelum ini dengan membenarkkan lebih banyak perniagaan beroperasi termasuk spa dan rumah urut, panggung wayang, teater dan zoo dengan penguatkuasaan langkah-langkah pencegahan yang ketat.

Sementara itu, Parlimen Thailand pada Ahad meluluskan pakej rangsangan bernilai 1.9 trilion baht  (100 baht = RM13.63) bagi menampan kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Pakej itu merangkumi rancangan untuk meminjam 1 trilion baht bagi membiayai usaha pemulihan ekonomi dan sosial termasuk 600 juta baht bagi kesihatan awam dan langkah-langkah membina semula ekonomi serta mewujudkan pekerjaan.

Selain itu, Thailand juga akan menyediakan pinjaman mudah bernilai 500 bilion baht bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas akibat COVID-19 dan 400 bilion baht untuk mengekalkan kecairan dalam sektor kewangan.

Majlis Pembangunan Sosial dan Ekonomi Nasional (NESDC) Thailand merendahkan unjuran bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 dengan penguncupan antara lima dan enam peratus berbanding 1.5 hingga 2.5 peratus yang diunjurkan pada Februari.

KDNK Thailand menguncup sebanyak 1.8 peratus pada suku pertama (Q1) 2020 berbanding Q1 2019 selepas pandemik COVID-19 menjejaskan sektor pelancongan dan aktiviti perniagaan.

Sumber:Bernama

Nor Azilah