Siakap Keli
Gambar:BERNAMA

Penunggang Motosikal Retak Tempurung Kepala Dilanggar Pemandu Mabuk

KANGAR, 1 Jun (Bernama) — Seorang penunggang motosikal cedera di kepala selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang dipercayai dalam keadaan mabuk di Jalan Raja Syed Saffi, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata kejadian berlaku pada 10.10 malam dan mangsa dikenali sebagai Bishamhadi Mohamad Hasbi, 40.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila pemandu kereta hilang kawalan dan melanggar sebuah motosikal dan belakang sebuah lori yang sedang menurunkan barang di tepi jalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta berusia 58 tahun itu telah ditahan untuk siasatan dan ujian pernafasan mendapati lelaki tersebut memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Lelaki itu yang bekerja sebagai tukang cat hanya cedera ringan sementara penunggang motosikal tersebut mengalami retak tempurung kepala serta kecederaan pada badan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di sini,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan  Jalan  1987.

–BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story