Siakap Keli

Perlis Benarkan 30 Jemaah Untuk Solat Jumaat Dan 12 Orang Untuk Solat Lima Waktu Mulai 5 Jun

ARAU, 1 Jun  — Perlis membenarkan tambahan jemaah bagi solat Jumaat dan solat lima waktu, mulai 5 Jun.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), ketika mengumumkan perkara itu dalam kenyataan hari ini menjelaskan, tambahan jemaah solat Jumaat dipertingkatkan kepada 30 orang, manakala solat lima waktu dipertingkatkan kepada 12 orang.

Perintah berkenaan dikeluarkan selepas mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, setelah mengambil kira soal pelaksanaan syiar dan syariat berserta dengan maqasid agama, dalam menjaga nyawa dan kesihatan.

“Bagi solat Jumaat, jumlah tersebut berkemungkinan ditambah pada Jumaat-Jumaat berikutnya secara berperingkat, berdasarkan kepada pemakluman MAIPs dari semasa ke semasa, mengambil kira ketetapan terkini pihak Kerajaan Malaysia.

“Bagi solat lima waktu dua orang petugas PDRM yang menjalankan tugas mengawal turut diberikan kebenaran untuk turut serta menunaikan solat, jika keadaan terkawal,” menurut titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs

Pemilihan jemaah bagi kedua-dua solat itu, akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid, dengan mengambil kira lokaliti setempat, dalam sesuatu kariah.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, demi menjaga kemaslahatan dan keselamatan bersama, kelayakan jemaah yang dibenarkan hadir setelah dipilih, hendaklah melengkapi syarat iaitu tidak mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak dan selsema.

Selain itu, mereka juga tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan serius lain yang berisiko, seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah, tidak mempunyai sejarah perjalanan ke tempat yang disenaraikan terlarang, rentas negeri dari zon merah, dan tiada kontak rapat dengan individu yang dijangkiti wabak COVID-19.

Setiap jemaah yang hadir, diwajibkan untuk melaksanakan kelaziman baharu seperti membuat pemeriksaan suhu badan di tangga masjid, sanitasi tangan, dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran, bagi tujuan penjejakan sosial.

Jemaah juga hendaklah melaksanakan jarakan sosial, termasuk semasa solat (sekurang-kurangnya dua meter), memakai pelitup separuh muka termasuk ketika menunaikan solat, dan mestilah berwuduk terlebih dahulu, sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri.

Selain itu, jemaah tidak boleh melakukan kontak fizikal seperti berjabat tangan dan berpelukan di masjid, sama ada sebelum atau selepas solat, serta terus beredar setelah selesai solat.

Tempoh had masa bermula azan hingga selesai solat dibenarkan adalah solat Jumaat adalah 15 minit, dan solat lima waktu 10 minit, dengan keutamaan solat dilaksanakan di kawasan yang lebih terbuka, seperti di anjung masjid.

Aspek penjagaan kebersihan kawasan masjid seperti melakukan penyahkuman, hendaklah diberikan perhatian oleh pihak masjid demi menjaga keselamatan dan kesihatan jemaah, selain memastikan segala peraturan ditetapkan dilaksanakan dengan sebaiknya.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pelanggaran pada mana-mana peraturan boleh menyebabkan kebenaran dan kelonggaran berkenaan ditarik semula, demi kepentingan bersama.

“Langkah berjaga-jaga bukan hanya dipraktikkan di masjid, namun hendaklah menjadi amalan secara menyeluruh, sepertimana yang ditetapkan oleh pihak berwajib. Pencapaian yang diperoleh selama ini, bukanlah satu alasan untuk kita mengambil mudah, malah ia adalah merupakan satu fardu ‘ain’ untuk bertanggungjawab menjaga nikmat kesihatan dan kesejahteraan yang telah Allah kurniakan,” titah baginda.

Sumber: Bernama

Nor Azilah