Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Perokok Jangan Ambil Mudah, Anda Berisiko Tinggi Jika Dijangkiti Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) — Jika mesej amaran bahaya merokok di kotak rokok tidak dapat memberi kesan secara menyeluruh, golongan perokok perlu berfikir banyak kali selepas ini bahawa mereka berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti COVID-19.

Ia susulan analisa Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah kematian akibat COVID-19 terhadap individu merokok lebih tinggi berbanding bukan perokok iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.

Justeru, perokok dinasihatkan supaya tidak perlu berlengah lagi, buang tabiat merokok dengan segera, amalkan pemakanan yang sihat demi kesihatan diri sendiri dan orang di sekeliling anda.

Sebelum penularan COVID-19, tabiat merokok sudah terbukti mengakibatkan pelbagai jenis penyakit serta boleh melemahkan sistem imuniti manusia termasuk merosakkan paru-paru namun masih ada perokok tidak menghiraukan fakta itu.

Sedar atau tidak, merokok meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus terutama ketika wabak COVID-19 ketika ini, jadi pilihan di tangan anda.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan baru-baru ini juga memaklumkan bahawa perokok adalah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti virus COVID-19.

Dalam pada itu, setelah hampir tiga bulan rakyat negara ini meneruskan rutin seharian dengan pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tidak dinafikan golongan bujang antara yang terkesan kerana tidak dapat bertemu keluarga tercinta di kampung halaman ekoran wabak COVID-19.

Memahami situasi tersebut, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran rentas negeri bagi individu bujang untuk bertemu keluarga masih dibincangkan dan meminta golongan itu bersabar.

Tujuan kerajaan mengenakan arahan PKPB bukanlah untuk memudaratkan keadaan tetapi demi keselamatan rakyat keseluruhannya agar matlamat memutuskan rantaian virus COVID-19 di negara ini tercapai.

Menerusi info grafik yang dikongsi oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) KKM semalam, perkembangan terbaru itu menyaksikan hanya empat negeri yang masih kekal dengan zon hijau iaitu Terengganu, Perlis, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Setakat 12 tengah hari semalam, terdapat 57 kes positif COVID-19 dilaporkan dan daripada jumlah tersebut 43 adalah kes melibatkan bukan warganegara, 10 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan hanya empat kes penularan tempatan dalam kalangan warga tempatan.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story