Siakap Keli

COVID-19 : Singapura Akan Bina Lebih Banyak Asrama Pekerja Asing Bagi Kurangkan Kepadatan

SINGAPURA, 1 Jun  — Singapura akan memulakan program pembinaan besar-besaran asrama pekerja asing yang baru, dengan ruang untuk menempatkan 60,000 katil, sedia digunakan hujung tahun ini, menurut Menteri Pembangunan Nasional Lawrence Wong.

“Sasaran kami ialah untuk mengurangkan kepadatan di asrama, dan juga penting untuk mereka bentuk asrama baru yang lebih baik kepada kesihatan awam, terutamanya kepada risiko pandemik seperti yang kita pelajari daripada pengalaman COVID-19,” katanya dalam sidang media secara dalam talian mengenai COVID-19 hari ini.

Pada masa ini, Singapura telah menggunakan fasiliti seperti kem tentera dan dewan sukan, serta sebahagian flet HDB, untuk menempatkan pekerja ke kawasan itu, dalam usaha mengurangkan kepadatan di asrama pekerja.

Wong yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai COVID-19 berkata, tindakan tersebut merupakan satu penyelesaian sementara, kerana akhirnya kawasan tersebut perlu diserahkan semua untuk kegunaan sebenar mereka, dan satu penyelesaian yang lebih sesuai diperlukan untuk asrama baru.

Dalam jangka panjang Wong berkata, republik itu merancang untuk membina 11 bangunan khas asrama kekal dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan tambahan kira-kira 100,000 tempat, dengan reka bentuk dan piawaian baru.

Sementara itu, Menteri Tenaga Kerja Josephine Teo berkata, sehingga hari ini, sejumlah 40,000 pekerja asing telah disahkan bebas jangkitan COVID-19, dan bersedia untuk bekerja semula.

Teo berkata, kira-kira 12,000 daripada mereka merupakan pekerja penting, yang telah dipindahkan keluar dari asrama ke penginapan sementara, manakala 20,000 pekerja telah pulih dan ditempatkan secara sementara di pelbagai tempat.

“8,000 lagi pekerja tinggal di asrama,” kata Teo pada sidang media yang sama.

Teo berkata, 8,000 pekerja ini sama ada telah diuji negatif ataupun, disahkan positif tetapi telah pulih sepenuhnya dan didiscaj, dan tinggal bersama rakan pekerja yang juga telah disahkan bebas daripada virus itu di asrama.

Pada masa yang sama Teo berkata, kumpulan pertama 60 asrama akan diberikan status ‘bebas’, bermula esok (2 Jun), yang bermakna setiap blok di asrama tersebut telah bebas daripada virus dan setiap penduduk di dalam blok tersebut, telah disahkan bebas daripada jangkitan.

Terdapat 43 bangunan khas asrama yang menempatkan kira-kira 200,000 pekerja asing dan 1,200 kilang yang dijadikan asrama untuk kira-kira 95,000 pekerja.

Sumber: Bernama

Nor Azilah