Siakap Keli

Isu Hakisan Tanah: Pekerja Warga Indonesia Maut Dihempap Runtuhan Dapur

IPOH, 2 Jun – Seorang pekerja lelaki warga Indonesia maut, selepas dipercayai dihempap sisa runtuhan dinding dapur rumah dalam pengubahsuaian, di Taman Silibin Indah di sini, petang ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Malaysia negeri Perak Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian menimpa Junaidi Razak, 40, pada pukul 5.23 petang.

“Kami segera mengerahkan lapan orang pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, sebaik menerima pangilan mengenai kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja mengeluarkan mangsa hanya mengambil masa lima minit, dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa dipercayai sedang melakukan tugas pembersihan di kawasan dapur, bersama seorang lagi rakan sekerja.

“Buat masa ini penghuni rumah dinasihatkan supaya tinggal di tempat lain, sementara menunggu tindakan susulan pihak-pihak berkaitan, untuk menyelamatkan keadaan,” katanya.

Sementara itu, pemilik rumah Moses James, 58, berkata, ketika kejadian beliau sedang minum petang bersama seorang lagi pekerja pembinaan di luar kawasan rumah, sebelum terdengar bunyi yang kuat dari arah dapur rumah.

“Saya amat terkejut, apabila melihat mangsa sudah dihempap struktur dinding yang runtuh, lalu segera mendapatkan pertolongan orang ramai, selain menghubungi pihak bomba, ambulans dan polis,” katanya.

Bekas pegawai tentera berpangkat Mejar itu berkata, mangsa mula melakukan kerja membuat kabinet dapur rumah itu sejak tiga hari lalu, dan kebiasaannya pulang pada pukul 5 petang, namun hari ini mangsa masih menjalankan kerja selepas waktu tersebut.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada hakisan tanah yang dilaporkan berlaku, melibatkan lapan rumah di kawasan berkenan sejak 13 Mei lalu, namun ia pertama kali musibah itu berlaku sejak beliau mendiami rumah itu pada 2016.

Mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, untuk tindakan lanjut.

Pagi tadi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dilaporkan, meminta Majlis Bandaraya Ipoh mengambil tindakan secara teliti, mengenai rungutan penduduk taman berkenaan kerana didakwa masih tiada tindakan susulan sejak kejadian itu berlaku pada 13 Mei lalu.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang