Siakap Keli

Pemandu Mabuk: Apakah Hukuman Berat Mampu Menanganinya? – BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Akhir-akhir ini kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk sehingga ada yang mengakibatkan kematian mencetuskan pelbagai reaksi serta pandangan, mendesak kerajaan mengetatkan undang-undang berkaitan bagi menanganinya.

Bagaikan insiden bermusim, satu demi satu kes nahas sedemikian dilaporkan baru-baru ini mencetuskan sentimen dalam kalangan rakyat yang mahukan kerajaan mengambil tindakan tuntas terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Memahami keresahan rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Ketepikan perbezaan politik kerana ini berkaitan nyawa manusia dan akibat yang perlu ditanggung waris mangsa. Apakah kesungguhan politik dalam kalangan pemimpin kita bagi menangani isu pemandu mabuk ini?

Mungkin kita boleh mengambil iktibar dan mempelajari pengalaman negara-negara lain yang melaksanakan hukuman berat dan dilihat boleh menjadi pengajaran kepada orang lain.

Sekadar Gambar Hiasan

Negara maju seperti Kanada meletakkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk di bawah kanun jenayah dengan hukuman menyebabkan kematian boleh dipenjara seumur hidup manakala pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan boleh dipenjara sehingga 14 tahun.

Di United Kingdom, hukuman bagi pemandu yang menyebabkan kematian disebabkan kecuaian ketika  berada di bawah pengaruh alkohol ialah dipenjara selama 14 tahun dengan denda tanpa had serta digantung lesen memandu selama dua tahun.

Kabinet Taiwan pula meluluskan satu pindaan terhadap kanun keseksaan yang menjadikan kesalahan menyebabkan kematian ketika memandu dalam keadaan mabuk sebagai kesalahan membunuh. Jika pesalah berniat menyebabkan kematian, dia boleh dihukum mati.

Menerusi pelaksanaan hukuman sedemikian barulah pesalah yang menyebabkan kemalangan maut ketika memandu dalam keadaan mabuk menganggap perkara berkenaan sebagai satu kes yang serius.

Di Malaysia, mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk hanya dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Undang-undang ini dilihat lemah, seakan tidak setimpal dengan kesalahan yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kesengsaraan kepada mangsa dan waris.

Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan 21 kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk sepanjang lima bulan pertama tahun ini dengan lapan mangsa meninggal dunia, iaitu peningkatan ketara berbanding 23 kes sepanjang tahun lepas.

Seperti tidak ada nilai, nyawa melayang begitu sahaja disebabkan kehilangan siuman seorang pemabuk yang boleh mengundang risiko kemalangan 13 kali ganda berbanding individu yang tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

Sekadar Gambar Hiasan

Menyifatkan dasar dan peraturan tentang pemandu mabuk di negara ini sudah kuno dan lapuk, pakar psikologi kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din menyatakan definisi, skop dan tingkah laku pemandu mabuk harus diperjelaskan.

“Manusia semakin celaru dan berani melanggar peraturan sedia ada. Penguatkuasaan juga mungkin menjadi sukar dengan garis panduan lapuk yang ada kebolosan, ketirisan dan tidak tepat untuk dilaksanakan

“Kita gagal untuk melihat bahawa pemandu mabuk adalah orang yang tidak siuman yang sedang berada di dalam tubuh yang siuman dan sepatutnya dilarang berada di kawasan awam sebaliknya wajib berada di premis persendirian atau di rumah masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Dalam menguatkuasakan hukuman lebih berat,  had kandungan alkohol dalam darah (BAC)  bagi individu di bawah pengaruh alkohol yang diguna pakai juga perlu disemak semula dan dikurangkan kepada 0.05 selaras piawaian antarabangsa  seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Kulanthayan KC Mani berkata pada masa ini, had kandungan alkohol yang diguna pakai di Malaysia ialah 0.08.

“Jika 0.05 sudah memberi kesan memabukkan apatah lagi had kandungan 0.08 yang diguna pakai di Malaysia. Jika kita dapat kurangkan kepada 0.05 lebih ramai pemandu dan pengguna jalan raya yang berkongsi jalan sama dapat diselamatkan,” katanya.

WHO menyasarkan semua negara  dapat mengurangkan kematian  dan kecederaan  sebanyak 50 peratus disebabkan pemanduan mabuk menjelang 2030.

Menurut Dr Kulanthayan, apa yang lebih penting pada masa ini ialah mengoptimumkan undang-undang sedia ada dan semua pihak memainkan peranan masing-masing tanpa mengharapkan sepenuhnya pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Penguatkuasaan kendiri, keluarga, komuniti, majikan dan industri, jika diperkenalkan dan dilaksanakan secara aktif,  akan membantu membendung pelanggaran peraturan jalan raya termasuk pemanduan semasa mabuk,” katanya.

Selain itu, penjualan alkohol juga perlu dihadkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih berkesan, kata Exco Pertubuhan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur (KLCPPA) Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir.

Menurut beliau, New Zealand dan Belanda antara negara yang mengenakan undang-undang ketat terhadap penjualan alkohol.

“Di Malaysia alkohol boleh dibeli pada bila-bila masa terutama dari kedai 24 jam,” katanya sambil mencadangkan pengusaha kelab malam membuat ujian  pemanduan di bawah pengaruh alkohol (DUI) terhadap pelanggan mereka dan memeriksa had alkohol dalam darah sebelum membenarkan mereka memandu pulang.

“Macam sekarang musim COVID-19 yang perlu periksa suhu badan untuk memasuki premis, jika demam tidak dibenarkan masuk. Begitu juga kepada mereka yang mengambil alkohol, jika lebih daripada BAC yang ditetapkan tidak dibenarkan memandu,” katanya.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.