Siakap Keli

109,617 Lepasan SPM Ditawar Lanjut Pengajian Bagi Sesi 2020/2021

PUTRAJAYA, 3 Jun  — Seramai 109,617 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 ditawarkan ke Universiti Awam (UA), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi (KM), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi melanjutkan pengajian bagi sesi akademik 2020/2021, demikian menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Mereka ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sijil/asasi/matrikulasi/diploma dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM).

KPT memaklumkan surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) berkaitan kepada calon yang berjaya mulai esok (4 Jun) dan calon perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh lima hari iaitu selewat-lewatnya 8 Jun ini.

“Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman web IPTA,” menurut KPT dalam satu kenyataan hari ini.

KPT memberitahu tarikh pendaftaran pelajar baharu adalah mulai 5 Jun ini hingga 4 Januari 2021 mengikut IPTA masing-masing.

KPT mengatakan ia mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar dan berdasarkan prinsip itu, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA.

“Tiada sistem kuota diguna pakai dan sistem ini telah digugurkan semenjak sesi pengambilan 2002/2003,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, tawaran tempat bagi sesi akademik 2020/2021 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan.

Calon yang tidak menerima sebarang tawaran atau gagal boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline di http://upu.moe.gov.my yang akan dibuka dalam tempoh lima hari bekerja mulai hari ini pukul 12.00 tengah hari hingga 10 Jun 2020 pukul 5.00 petang.

“Dasar pemilihan rayun pelajar adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” menurut KPT.

Bahagian kemasukan pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi (BKPA JPT) telah membuka kemudahan talian hotline mulai hari ini hingga 10 Jun 2020 dari pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang untuk memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara.

Sumber: Bernama

 

Nor Azilah