Siakap Keli
Sumber Foto : KKM

Bilangan Pegawai Psikologi Dalam Negara Tidak Mencukupi – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 3 Jun – Bilangan pegawai psikologi kaunseling dalam negara masih tidak mencukupi iaitu dengan nisbah kaunselor kepada individu adalah 1:52,000, sedangkan nisbah normal adalah 1:500.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini hanya terdapat 148 pegawai psikologi kaunseling yang berkhidmat.

“Secara dasarnya bilangan ini tidak mencukupi bagaimanapun kita bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi tujuan perkhidmatan kaunseling,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata KKM telah meningkatkan perkhidmatan kesihatan mental melalui sistem digital dan teknologi termasuk menyediakan talian sokongan psikososial dan kaunseling secara maya menggunakan aplikasi terkini.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini KKM menerima 9,338 panggilan daripada individu yang memerlukan sokongan dan antara isu yang dibangkitkan adalah berkaitan tekanan jiwa dan kerisauan, serta faktor sosial seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan dan masalah hubungan sesama manusia.

Selain itu masalah keperluan asas termasuk bantuan kewangan dan sumbangan serta isu keganasan rumah antara, merupakan antara isu yang disuarakan individu yang bimbang dan takut terhadap pandemik COVID-19.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang