Siakap Keli

COVID-19: Misi Asing Ucap Terima Kasih, Rawatan Di Depot Tahanan Imigresen

KUALA LUMPUR, 3 Jun  — Misi Asing yang warganya terjejas akibat COVID-19 di tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI) di sini, merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas tindakan segera selain memastikan mereka yang dijangkiti menerima rawatan sewajarnya.

Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia memberitahu Bernama, pihaknya tidak dapat memberikan jumlah sebenar warga Bangladesh yang dijangkiti, kerana masih menunggu dan melakukan pengesahan maklumat.

“Kami menerima maklumat mengenai mereka yang dijangkiti COVID-19 melalui saluran komunikasi biasa setiap hari. Jadi, bilangannya mungkin sentiasa berubah. Kami menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia untuk inisiatif dan tindakan atas dasar kemanusiaan yang telah dilaksanakan,” kata suruhanjaya itu.

Pihaknya juga menghargai usaha kerajaan Malaysia memastikan pendatang yang mempunyai atau tanpa dokumen diberi akses untuk mendapatkan ujian saringan dan rawatan COVID-19, justeru menggesa lebih ramai migran tampil menjalani saringan.

“Kerajaan Malaysia sudah beri kesempatan kepada migran tanpa dokumen mendapatkan rawatan di hospital. Keputusan yang tepat pada masanya dan kami amat menghargainya,” tambah Suruhanjaya Tinggi itu.

Bangladesh dan Malaysia mempunyai hubungan dua hala sangat baik, bekerjasama dengan semua kementerian serta agensi berkaitan, keperihatinan dan sikap ramah yang diberikan amat disanjung.

“Sangat penting untuk bekerjasama, terutama semasa pandemik ini dan ia sedang dilakukan,” katanya.

Berhubung usaha menghantar pulang warganya yang tidak mempunyai dokumen, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh berkata perkara itu akan diteruskan berdasarkan peraturan dan undang-undang kedua-dua negara.

Sementara itu, sumber rasmi Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai warganegara yang tidak mempunyai dokumen ditahan di pusat tahanan imigresen di sini.

“Ada sebahagian mereka didapati positif dan diberi rawatan sewajarnya mengikut protokol Kementerian Kesihatan. Kami masih menunggu maklumat mengenai semua yang terlibat,” kata sumber itu.

Menurut pegawai itu lagi Misi Vande Bharat – operasi yang dilancarkan kerajaan India untuk membawa pulang warganya yang terkandas di beberapa negara terpilih – turut tertakhluk kepada tahanan di depot imigresen.

Suruhanjaya Tinggi itu memaklumkan pihaknya menerima kerjasama baik yang diberikan agensi berkaitan untuk mengendalikan penerbangan dari Kuala Lumpur di bawah misi berkenaan.

Setakat ini, 10 penerbangan sudah dikendalikan ke beberapa destinasi di India, kira-kira 1,700 warga India yang terkandas selamat kembali ke negara asal mereka.

Dalam perkembangan berasingan, Suruhanjaya Tinggi India juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia membantu warganegara India, yang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), katanya.

Sementara itu, sumber Kedutaan Nepal mengatakan pihaknya masih berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai perkara ini dan dalam proses mengumpulkan maklumat.

Pihaknya belum menerima kemas kini rasmi dari imigresen Malaysia  mengenai penghantaran pulang tahanan warga Nepal, kata sumber itu.

Kementerian Kesihatan pada 21 Mei berkata pihaknya mengesan kluster baharu kes COVID-19 melibatkan warga asing di DTI Bukit Jalil diikuti DTI Semenyih (23 Mei) dan Sepang (24 Mei).

Antara warganegara yang disahkan positif setakat ini termasuk Bangladesh, India, Nepal, Indonesia, Myanmar, Pakistan, China, Kemboja, Sri Lanka, Filipina, Libya, Mesir dan Syria.

Sumber: Bernama

Nor Azilah

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)