Siakap Keli
Gambar:BERNAMA

Kelantan Dan Sabah Benar Penambahan Jemaah Solat Jumaat Ke 40 Orang

KOTA BHARU, 3 Jun — Mulai Jumaat ini, negeri Kelantan dan Kedah membenarkan jemaah solat Jumaat di negeri masing-masing ditambah menjadi 40 orang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Beliau berkata antara mereka yang dibenarkan adalah Imam Tua, Imam Muda, Bilal, Siak, Ahli Jawatankuasa masjid dan anak-anak mukim yang terpilih, setelah mendapat pandangan Datuk Mufti Kelantan dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Solat Jumaat ini dibenarkan secara berperingkat bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara terkawal sebagai langkah membendung penuralan virus COVID-19 di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya pelaksanaan solat Jumaat itu perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memastikan hanya pegawai-pegawai masjid (Imam Tua, Imam Muda, Bilal dan Siak), Ahli Jawatankuasa Masjid dan anak-anak mukim terpilih sahaja yang dibenarkan, dan tidak melebihi jumlah 40 orang.

Ujian saringan suhu perlu dilakukan terhadap jemaah yang hadir dan mereka perlu mengenakan penutup hidung dan mulut serta merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran.

“Bagi mengelak sebarang risiko jangkitan wabak, para jemaah yang bergejala seperti batuk, demam, selsema dan sakit tekak serta ahli jawatankuasa dan anak-anak mukim yang berumur 70 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir,” katanya.

“Jarakan sosial sejauh satu meter antara jemaah ketika solat juga perlu dipatuhi dan memastikan khutbah dan solat Jumaat diselesaikan dalam tempoh 20 minit setelah azan Jumaat. Malah, pegawai dan jawatankuasa diminta membawa sejadah dan mengambil wuduk dari rumah masing-masing sebelum ke masjid,” katanya, dan mengingatkan bahawa kebenaran pelaksanaan solat fardu Jumaat ini tertakluk kepada kehadiran sekurang-kurangnya seorang anggota polis di setiap masjid.

Media sebelum ini melaporkan Kelantan mula membenarkan kesemua masjid di negeri ini untuk mengadakan solat Jumaat secara berperingkat bermula 22 Mei lalu dengan bilangan jemaah tidak lebih 12 orang.

Di Kota Kinabalu, SABAH, Majlis Fatwa Negeri Sabah hari ini bersetuju untuk membenarkan bilangan jemaah solat Jumaat kepada 40 orang berbanding hanya 12 orang sebelum ini manakala bilangan jemaah solat lima waktu ditambah kepada 12 orang, juga bermula Jumaat ini.

Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata bilangan jemaah solat Jumaat itu termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid, imam, khatib sementara sembahyang lima waktu terdiri daripada jawatankuasa dan petugas masjid/surau dan orang awam.

Bagaimanapun, ahli jemaah yang berusia lebih 70 tahun dan mereka yang mempunyai gejala sakit seperti demam serta batuk tidak dibenarkan untuk hadir solat Jumaat.

“Pihak berwajib dan AJK masjid hendaklah menentukan ahli Jumaat yang ditetapkan terlebih dahulu bagi mengelakkan kekeliruan dan perselisihan antara ahli Jumaat berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Bungsu Aziz berkata orang awam masih belum dibenarkan hadir ke masjid dan surau melainkan orang yang telah ditentukan yang diberi kebenaran khas untuk melaksanakan solat Jumaat.

“Oleh itu diharapkan semua orang awam mematuhi nasihat dan saranan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. Mereka yang berkenaan hendaklah mengambil langkah keselamatan dan sentiasa mengikut saranan dan garis panduan pihak Kementerian Kesihatan dan pihak berwajib agama di negeri ini,” katanya.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story