Siakap Keli

SOP Pembukaan Semula Taman Rekreasi, Kedai Gunting, Gimnasium Dan Kedai Gambar Di Sarawak Diperhalusi

KUCHING, 3 Jun — Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) pembukaan taman rekreasi, kedai gunting rambut, pusat atau gimnasium kecergasan dan kedai gambar.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata keputusan ini dibuat berikutan pencapaian negeri itu dalam mengurangkan jumlah kes baharu COVID-19 sejak awal bulan Mei.

“Keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat memandangkan graf kejadian kes COVID-19 menunjukkan penurunan yang berterusan,” katanya dalam sidang media harian perkembangan pengurusan COVID-19 negeri di sini, hari ini.

Menurut beliau, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah juga akan mengadakan sidang media esok, bagi memberi penjelasan berhubung pembukaan semula taska di negeri ini bermula 9 Jun.

“Kementerian (yang diketuai) Datuk Seri Fatimah sebenarnya telah menyiapkan prosedur untuk membuka semula taska dan sekarang sedang memanggil semua pengendali taska untuk menjelaskan SOP,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Uggah berkata berkuat kuasa 9 Jun ini, semua warganegara yang masuk ke Sarawak diwajibkan membuat saringan COVID-19 di tempat atau negeri masing-masing tiga hari sebelum memasuki negeri ini.

Peraturan itu juga turut merangkumi penjawat awam yang berkhidmat di Semenanjung, Sabah dan Labuan.

Menurut beliau, semua warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan dari luar negara yang telah dikuarantin di Semenanjung Malaysia perlu menunjukkan perintah pelepasan daripada Kementerian Kesihatan dan keputusan saringan COVID-19 yang negatif sebelum masuk ke Sarawak.

“Dalam pada itu, semua warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan dari luar negara yang belum dikuarantin di Semenanjung atau transit dari KLIA terus ke Sarawak, mereka akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di hotel.

“Kos penginapan mereka akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak berkuat kuasa 1 Jun.” katanya.

Sumber: Bernama

Nor Azilah

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)