Siakap Keli
candat sotong
Kredit: Bernama

Tiada Aktiviti Mencandat, Sotong ‘Berbulan Madu’ -Pensyarah

KUALA TERENGGANU, 3 Jun (Bernama) — Ketiadaan aktiviti mencandat sotong bukan sahaja memberi peluang ‘rehat’ yang panjang kepada hidupan laut itu tetapi juga masa terbaik untuk ‘berbulan madu’.

Pensyarah Kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz berkata musim mencandat sotong biasanya bermula sekitar April hingga September, namun wabak COVID-19 menyebabkan aktiviti itu tidak dapat dilaksanakan.

“Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sedikit sebanyak telah memberi peluang kepada sotong torak, jarum, katak, mengabang dan ketupat kembali membiak tanpa sebarang tekanan daripada aktiviti perikanan secara berlebihan.

“Mengikut ekologi perikanan, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi taburan sotong ini, antaranya habitat, makanan dan pembiakan. Sekiranya sotong menghadapi tekanan bagi salah satu faktor berikut, ia akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Fazrul berkata beberapa tahun lepas, terdapat rekod yang menunjukkan saiz sotong ketika musim mencandat agak kecil, berkemungkinan akibat tekanan persekitaran dan kaedah tangkapan yang tidak terkawal.

Masih banyak lubuk sotong belum diterokai

Katanya, sejak 2018, dianggarkan secara purata, bagi mendapatkan sekilogram ia akan melibatkan empat hingga lima ekor sotong.

Namun tahun ini (sejak PKP), juga secara purata didapati saiz sotong makin besar dan hanya memerlukan sekitar tiga ekor untuk mencecah sekilogram, katanya.

“Ini bermakna tekanan semakin mengendur terhadap stok sotong sedia ada, malah ada nelayan pesisir pantai di sekitar Kuala Terengganu yang bertuah kerana menjumpai ‘kandang’ sotong pada musim PKP ini berbanding kesukaran untuk mengesannya pada tahun lepas.

“Data kajian awal pada Mac 2019 juga menunjukkan, secara purata tiga kali sahaja nelayan di Kuala Terengganu yang mencandat sotong berjaya mendaratkan sebanyak 30 kilogram (kg) namun pada Mac 2020, secara purata nelayan dapat mendaratkan sotong lebih daripada lima kali dengan banyak,” katanya.

Tambah Mohd Fazrul, perairan Terengganu masih mempunyai lubuk sotong yang belum diterokai dan sekiranya pemantauan dibuat secara berkala, aktiviti mencandat sotong boleh diteruskan tanpa menyebabkan tekanan kepada stok sotong sedia ada.

Pemulihan stok perikanan

Beliau berkata keadaan PKP juga memberi gambaran bahawa peluang untuk stok perikanan termasuk sotong pulih masih ada, namun ia memerlukan kerjasama antara pemegang taruh utama iaitu pihak berkuasa, nelayan dan penyelidik.

“Sekiranya ada kerjasama tidak mustahil stok perikanan akan pulih secepat yang mungkin. Segelintir nelayan pesisir pantai di Kuala Terengganu juga dikatakan berjaya memperoleh hasil tangkapan berlipat kali ganda kali ini.

“Kerajaan mungkin boleh lakukan penutupan di zon tertentu terutama yang menjadi kawasan tumpuan sotong, pasti spesis ini mampu membiak dan membesar dengan lebih banyak. Kitar hidup bagi musim membiak spesis perikanan adalah unik dan berbeza di antara satu dengan yang lain,” katanya.

Mohd Fazrul berkata kebiasaannya aktiviti mencandat sotong akan melibatkan 12 peserta dalam sebuah bot dan hampir ratusan bot mampu berada di perairan dalam satu malam bagi tujuan yang sama, hingga mengganggu aktiviti pembiakan.

Selain itu, beliau berkata terdapat juga nelayan yang tidak bertanggungjawab menggunakan peralatan perikanan yang tidak dibenarkan, seperti pukat tunda dasar di kawasan zon A dan zon B (zon penampan) hingga menyebabkan sotong kecil turut terperangkap.

“Kedua-dua zon tersebut merupakan habitat penting bagi tumbesaran spesis anak ikan termasuk juvenil sotong. Kawalan secara berterusan oleh pihak berkuasa mampu mengurangkan tekanan terhadap stok perikanan negara,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.