Siakap Keli
rusuhan AS
Kredit: Orwell & Goode

(Video) Gelandangan Jatuh Terlentang Cuba Selamatkan Tilamnya Dari Dibakar Dipercayai Oleh Perusuh

Rusuhan di Amerika Syarikat (AS) bertukar ganas di beberapa tempat apabila ada segelintir penunjuk perasaan merosakkan harta benda awam. Dengan ribuan perusuh memenuhi jalan, kerajaan negara itu terpaksa mengumumkan darurat di beberapa wilayah terlibat termasuk Atlanta, Los Angeles dan Washington.

Baru-baru ini, tular video dipercayai perusuh didakwa membakar barangan milik gelandangan di Austin, Texas.

Berdasarkan video berkenaan, dua lelaki dilihat menarik tilam dan mencampakkannya ke dalam api.

Dalam masa yang sama, seorang lelaki dipercayai gelandangan cuba menyelamatkan tilam berkenaan. Dia sempat dilihat terlentang ketika cuba menarik objek tersebut yang mula terbakar sebelum dibantu seorang lelaki yang cuba memadamkan api pada tilam tersebut.

Dalam perkembangan mengenainya, lelaki tersebut dikatakan telah menerima khemah dan tilam baru bagi menggantikan hak miliknya yang telah rosak.

Sebelum ini, tular beberapa video perusuh membakar balai polis sebagai tanda protes terhadap kekejaman bekas anggota polis, Derek Chauvin terhadap George Floyd.

Isnin lepas, 25 Mei 2020, Derek dan beberapa rakan setugasnya menahan Floyd atas tuduhan pemalsuan dokumen. Mereka menindih mangsa ke atas jalan di mana Derek menekan leher Floyd dengan lututnya sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

Floyd akhirnya disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. Video kekejaman ke atas individu berkulit hitam itu mencetuskan tunjuk perasaan ke seluruh AS dan beberapa negara lain di dunia termasuk Kanada dan Australia.

Sumber: Orwell & Goode

Amira

Love yourself.