Siakap Keli

Bangkai Ikan Ternakan Mati Ditemui Di Perairan Perak & Pulau Pinang Akibat Ledakan Alga

Bangkai ikan ditemui mati membusuk selepas hanyut dari sangkar di beberapa kawasan perairan berdekatan Pulau Pinang, baru-baru ini.

Ekoran itu, satu siasatan telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) bersama Jabatan Perikanan Pulau Pinang dan Jabatan Perikanan Negeri Perak pada 29 Mei lalu.

Ia berikutan selepas mendapat aduan mengenai kejadian kematian ikan secara berperingkat di Kuala Kurau, Kuala Gula dan Tg. Piandang.

Hasil siasatan awal mendapati, punca kejadian tersebut adalah disebabkan kehadiran spesis plankton, atau dikenali sebagai ledakan alga Cochlodinum yang tinggi di perairan tersebut.

Gambar: Facebook

“Ledakan alga Cochlodinum ini merupakan kejadian yang kerap berlaku di perairan pantai di seluruh dunia pada setiap tahun.

Cochlodinium adalah spesies plankton yang toksik terhadap banyak spesies ikan dan kerang-kerangan, namun ia tidak memberi kesan kepada manusia.

“Ikan mati dan terapung tersebut merupakan ikan yang telah busuk dan hanyut dari sangkar disebabkan ledakan algae bloom.

“Faktor ini menyebabkan ikan sukar bernafas dan berenang di permukaan, serta menjadi tidak stabil dan seterusnya mati,” kata FRI, menerusi laporan halaman Facebook Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), semalam.

Gambar: Facebook

Dalam pada itu, pihak jabatan turut mendapati, ikan-ikan yang mati tersebut adalah daripada spesis ikan merah dan ikan bawal, namun tiada kes kematian yang dilaporkan bagi jenis ikan laut liar.

Difahamkan, ikan laut liar tidak terkesan kerana spesis itu dapat melarikan diri daripada perairan yang mengalami ledakan plankton tersebut.

Selain itu, hasil siasatan turut mendapati, statistik tangkapan nelayan kekal tinggi dan ikan di laut masih dalam keadaan baik serta terkawal.

“DOF ingin menasihati kepada semua penternak di kawasan tersebut untuk memindahkan ikan ternakan dari kawasan yang terlibat ke kawasan yang tiada ledakan, serta bersedia untuk menuai ikan jika ikan kelihatan tidak normal.

Gambar: Facebook

“Penternak juga dinasihati tidak membuang bangkai ikan ke laut kerana dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan nutrien, serta percambahan plankton tersebut dan seharusnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) pelupusan ikan seperti yang telah ditetapkan,” tambah kenyataan itu lagi.

Susulan kes tersebut bermula di perairan Perak kemudian merebak ke perairan Pulau Pinang, DOF menjangkakan berkemungkinan ia turut boleh berlaku sehingga ke perairan Kedah.

Justeru, penternak ikan di Kedah dinasihatkan agar berjaga-jaga serta melaporkan kepada Pejabat Perikanan Negeri sekiranya ada perubahan dalam warna air laut, serta perubahan atau kelakuan tidak normal pada ikan ternakan.

Gambar: Facebook
Gambar: Facebook

Sumber: FB Jabatan Perikanan Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.