Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Muhyiddin Kembali Bertugas Di Pejabat Selepas Jalani Kuarantin

PUTRAJAYA, 4 Jun  — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali bertugas di pejabatnya di sini, hari ini setelah menjalani kuarantin selama 14 hari, antaranya dengan mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Melalui perkongsian di laman Facebook rasminya, Muhyiddin memulakan tugas dengan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi persidangan video bagi sesi pra-Kabinet.

Perdana menteri kemudiannya mempengerusikan mesyuarat Kabinet secara persidangan video yang disertai semua anggota jemaah Menteri.

Menteri-menteri Kabinet berada di dalam dua bilik mesyuarat berasingan di bangunan Perdana Putra dan langkah itu adalah bagi menjamin amalan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat pada setiap masa.

Muhyiddin menjalani kuarantin bermula 22 Mei lalu selepas seorang pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca-Kabinet di pejabatnya disahkan positif COVID-19.

Sepanjang tempoh tersebut, Muhyiddin menjalankan tugas rasminya dengan cara bekerja dari rumah.

Menurut catatan Facebook itu, Muhyiddin pada Selasa (2 Jun) telah sekali lagi menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story