Siakap Keli

Pinggan Viral Ini Nampak Cantik Tapi Mungkin Boleh Mudaratkan Kesihatan Anda, Ini Sebabnya

Barang perhiasan dengan kaum perempuan memang tidak dapat dipisahkan. Lebih-lebih lagi jika ia bergaya, berguna dan viral, memang penuh satu troli akan diborong.

Antara yang selalu menjadi perhatian adalah peralatan meja makan seperti pinggan, mangkuk, dulang atau cawan. Mungkin tidak salah untuk mengumpulnya, namun perlu lebih berwaspada.

Baru-baru ini, telah tular satu trend di media sosial di mana pinggan viral bercorak menjadi bualan dan rebutan. Tidak dinafikan, ia memang cantik namun ada bahaya di sebaliknya.

Ingin tahu apakah bahaya pinggan viral yang cantik ini? Jom sama-sama kita ikuti perkongsian dari laman Hello Doktor dengan lebih lanjut!

Pinggan viral mungkin cantik tapi bahaya!

Peralatan meja makan seperti pinggan, mangkuk, dulang atau cawan yang bercorak memang nampak cantik lebih-lebih lagi jika ia dihias dengan warna-warni seakan pelangi.

Namun di sebalik keanggunannya, tersembunyi beberapa mudarat. Ketahuilah ia mungkin tidak begitu selamat untuk kegunaan harian kalian.

Dalangnya adalah bahan utama pembuatan peralatan ini yang dikenali sebagai plumbum.

Plumbum adalah dalangnya?

Buat anda yang belum tahu, plumbum sudah lama digunakan sebagai bahan utama dalam pembuatan peralatan meja makan terutamanya yang berasaskan seramik.

Ia digunakan sebagai sentuhan dekorasi ekoran sifatnya yang sangat menyerlah. Bahan inilah juga yang terdapat dalam pinggan viral yang sedang menjadi topik hangat kini.

Pun begitu, masih ramai yang belum sedar kerana kurang prihatin dengannya. Jadi, kalian perlu teliti semula minat dan hobi ini dengan mengenali peralatan meja makan yang wujud unsur plumbum.

Antara ciri-ciri peralatan meja makan yang mempunyai plumbum termasuklah:

  • Bercorak dan mempunyai warna-warni yang sangat menarik
  • Diperbuat secara tradisional dengan tanah liat
  • Diperbuat oleh pengilang yang tidak diketahui asal-usul
  • Mempunyai permukaan tidak rata dengan corak yang tampak timbul
  • Mempunyai pelbagai variasi rupa dan bentuk yang unik

Sebaiknya, sila beli produk yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu okay!

Mengapa plumbum berbahaya terhadap kesihatan?

Plumbum adalah sebatian toksik yang boleh memberi kesan negatif terhadap semua individu yang mungkin menggunakannya tanpa sedar.

Apa yang lebih membimbangkan adalah ia lebih berbahaya terhadap golongan yang lebih mudah terdedah seperti kanak-kanak, ibu hamil serta bayi dalam kandungan.

Jika ada yang berfikiran bahawa ia cuma sekadar alas untuk meletakkan makanan atau minuman dan tidak mendatangkan bahaya, fikirkan semula.

Ini kerana plumbum yang terdapat pada pinggan viral atau peralatan meja makan yang lain boleh meresap ke masakan yang dihidangkan di atasnya.

Kesannya, anda berkemungkinan menghidapi keracunan plumbum yang akan menjejaskan sistem organ jika ia masuk ke dalam tubuh badan dengan amaun yang terlalu banyak.

Jadi, apa yang kalian boleh lakukan?

Seperti yang kita sudah tahu, plumbum akan menjejaskan fungsi dan sistem organ tubuh badan kita jika ia masuk dengan amaun yang terlalu banyak.

Dalam usaha mengelakkan ini terjadi, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian jika ingin terus menggunakan peralatan meja makan ini.

Buat para penggemar dan pengumpul pinggan viral, sila ambil perhatian terhadap 7 perkara penting ini:

#1. Elak dari meletakkan masakan yang masih panas di atasnya

#2. Elak dari meletakkan masakan berasid seperti tomato, limau, teh, kopi dan jus buah di atasnya

#3. Elak basuh ia dengan sabun pencuci pinggan yang kuat

#4. Elak sental ia dengan berus dawai kerana corak boleh tertanggal lalu meningkatkan risiko kebocoran plumbum

#5. Elak panaskan atau masukkan ia ke dalam ketuhar gelombang mikro

#6. Elak simpan masakan terlalu lama di atasnya

#7. Elak dari menghidangkan masakan yang beralaskan peralatan ini kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan ibu hamil.

Gunakan alternatif selain pinggan viral!

Hakikatnya, mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Daripada kalian mengambil risiko dengan terus gunakan pinggan viral ini, apa kata kalian gunakan alternatif yang lebih selamat?

Jika anda masih tertanya-tanya, cara untuk mengelak risiko keracunan plumbum ini adalah dengan tidak langsung menggunakan peralatan meja makan yang mungkin mempunyai plumbum.

Antara alternatif yang paling selamat adalah dengan gunakan pinggan, mangkuk, dulang atau cawan yang berwarna putih tanpa corak serta yang diperbuat dari bahan lain seperti kaca atau plastik.

Jika masih khuatir dengan corak yang terdapat pada permukaannya, kalian boleh gunakan peralatan meja makan yang mempunyai corak di bawah atau luar yang tidak akan menyentuh masakan.

Kredit gambar: vitdaily.com

Sumber: Hello Doktor

Nor Azilah