Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Remaja Warga Indonesia Ditahan Cuba Rentas Negeri Naik ETS

BATU GAJAH, 4 Jun (Bernama) — Seorang remaja lelaki warga Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ditahan selepas cuba merentas negeri dengan menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Adnan Basri berkata remaja berumur 17 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis yang membuat pemeriksaan ke atas penumpang ETS yang tiba dari Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) kira-kira pukul 10.55 malam.

Katanya berdasarkan tiket yang dirampas, lelaki itu menaiki ETS bagi laluan Stesen KL Sentral ke Stesen KTM Ipoh yang sebelum itu akan berhenti di Stesen Batu Gajah pada harga RM39.

“Berdasarkan soal siasat, semasa suspek tiba di sini, dia mengaku datang dari Shah Alam, Selangor dan hendak menuju Taiping, Perak untuk tinggal bersama ibunya.

“Suspek mengatakan ibunya akan mengambilnya di stesen terbabit sebelum membawanya balik ke Taiping,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adnan berkata suspek telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan selain melanggar Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu tempat jangkitan yang lain tanpa kebenaran.

Katanya, suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Pusing, Batu Gajah kerana masih di bawah umur dan direman di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selama 14 hari bermula hari ini.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story