Siakap Keli

(Video) Non-Muslim Buat ‘Perisai’ Badan, Lindung Orang Islam Bersolat Dengan Selamat Ketika Rusuhan

Rusuhan tunjuk perasaan atas kematian George Floyd di Amerika Syarikat (US) masih lagi belum menunjukkan sebarang tanda-tanda akan reda meskipun sudah lebih seminggu berlalu.

Malah, dari hari ke hari, keadaan semakin bertambah buruk dan agak tidak terkawal apabila terdapat pihak yang mengambil kesempatan memecah masuk kedai-kedai untuk mencuri barangan berharga.

Namun, ada juga sudut lain yang boleh menjentik hati kita semua, khususnya bagi yang beragama Islam.

Walaupun rusuhan tersebut dibuat kerana menzahirkan perasaan marah, namun kewajiban sebagai Muslim iaitu solat lima waktu tetap juga dilaksanakan.

Menariknya, di sebalik ketegangan rusuhan itu, tiada jurang yang membezakan Muslim dengan bukan Muslim semasa waktu solat didirikan.

Seorang pengguna Twitter, Stance Grounded memuat naik satu rakaman video hari ini yang memaparkan situasi orang awam non-Muslim membuat kepungan untuk dijadikan ruang Muslim bersolat dalam satu kawasan protes Black Lives Matter di Brooklyn, New York, US.

Berdasarkan video yang dikongsikan, tujuan kepungan itu dibuat adalah untuk memastikan para jemaah Muslim dapat solat dengan selamat tanpa sebarang ancaman daripada pihak polis.

Mengimbas kembali, George Floyd, 46, ditahan polis kerana didakwa membuat pembayaran jual beli menggunakan wang palsu.

Dia ditahan dengan cara yang kejam di mana polis tersebut meletakkan lututnya di atas leher George sehingga lelaki berkenaan lemas dan berkata “I can’t breathe” berulang kali.

Tidak lama selepas itu, George disahkan meninggal dunia.

Manakala polis tersebut, Derek Chauvin telah dipecat dari jawatan dan sedang menjalani pertuduhan atas tuduhan membunuh serta turut dituntut cerai oleh bekas isterinya.

Tidak cukup dengan kadar jangkitan COVID-19 tertinggi di dunia dengan hampir dua juta kes, US kini sedang hangat bergolak dengan rusuhan protes atas kematian lelaki berkenaan.

Sumber: Stance Grounded

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.