Siakap Keli
adab akhlak pelajar malaysia
Kredit: Muhammad Umar Mustafa

(Video) Sheikh Mengajar Di Mesir Puji, Kagum Dengan Adab Pelajar Malaysia Di Luar Negara

Tamadun Melayu terkenal dengan adab dan budi pekerti. Ianya boleh dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk pemilihan perkataan dan gaya bahasa sastera zaman dahulu. Malah, teguran atau luahan juga diberi dalam bentuk peribahasa yang berlapik secara berhikmah.

Dalam Islam pula, ulama meletakkan adab melebihi ilmu. Hal ini kerana orang yang tidak beradab dalam menuntut ilmu, ilmunya tidak akan berkat. Maka muncullah golongan-golongan yang angkuh dengan ilmu secebis yang berani menempelak golongan berilmu ‘seperigi’. Malah, ada juga murid yang menghina guru sendiri.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, ulama dahulu kala mempelajari adab dahulu sebelum mempelajari ilmu.

Lihat bagaimana Ulama’ terdahulu ketika menuntut ilmu, mereka akan mempelajari adab sebelum mempelajari ilmu. Seperti Imam Al-Ghazali yang amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Beliau telah mengkhususkan satu bab di dalam kitabnya, Ihya’ Ulum al-Din khusus untuk mempelajari adab bersama guru. Bahkan Sheikh Abdullah bin Mubarak pernah menyatakan:

طلبت الأدب ثلاثين سنة، وطلبت العلم عشرين سنة؛ كانوا يطلبون الأدب ثم العلم

“Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baru mempelajari ilmu”.

(Rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira’, 1/446)

Bercakap tentang adab menuntut ilmu, seorang pengguna Twitter, Muhammad Umar Mustafa telah berkongsi satu video seorang Sheikh yang memuji adab pelajar Malaysia.

Menurut ahli teologi, Sheikh Saeed Fodeh, dalam kuliah kira-kira sepuluh tahun lalu, beliau sedang mengajar anggaran lebih 500 pelajar Malaysia dan beberapa pelajar Arab.

Biarpun para pelajar di dalam kuliah itu terpaksa duduk berjam-jam dan mempunyai kelas hingga 12 malam, mereka tetap tekun mendengar kuliahnya. Tambahnya lagi, para pelajar menjaga postur mereka dan komited mencatat nota.

“Demi Allah, semua mereka memegang buku nota dan menulis. Setiap kali saya jelaskan sesuatu, mereka berkata ‘ah’ dan menulis kesimpulan.

“Dan jika saya bertanya, mereka menjawab ‘ya, ya’ dan mereka akan menulisnya.

“Sejujurnya, melihat perkara ini betul-betul mengagumkan saya,” katanya.

Video tersebut mendapat perhatian dan reaksi warga maya termasuk rakyat Malaysia sendiri.

Dulu, ada imam yang tak berani tukar muka surat kuat-kuat depan gurunya

Tak salah bergerak, tapi mungkin tak selesa bagi guru

Rakyat Malaysia diajar beradab dari kecil

Kita perlu pelihara adab yang telah tertanam dalam budaya kita

Sebab tu saya suka orang Malaysia

Bahagian ‘Ah’ tu sangat Malaysian

Sumber: Muhammad Umar Mustafa, Mufti Wilayah Persekutuan

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.