Siakap Keli

Budak 7 Tahun Dilaporkan Maut Selepas Koma & Bengkak Otak Jadi Mangsa COVID-19

North Carolina, 5 Jun – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun meninggal dunia akibat bengkak pada otak disebabkan virus COVID-19.

Aurea Morales dilaporkan meninggal dunia Isnin lalu dan merupakan kanak-kanak pertama dilaporkan terkorban akibat koronavirus di negeri berkenaan.

Aurea dilaporkan mula jatuh sakit pada 28 Mei lalu dan disahkan positif COVID-19. Turut positif adalah ibu, ayah dan kakaknya.

Mangsa kemudiannya mengalami sawan dan dibawa ke Hospital University of North Carolina untuk rawatan.

Menurut keluarga, dia mengalami bengkak pada bahagian otak, koma dan meninggal dunia.

Seorang guru yang pernah mengajarnya berkata, Aurea merupakan seorang kanak-kanak yang ceria dan suka membantu.

“Menerima berita pemergiannya menghancurkan hati saya. Saya masih cuba menghadam berita itu. Dia penuh dengan kegembiraan dan satu keseronokan mempunyainya di dalam kelas,” kata guru tadika Aurea, Michelle Duke.

Susulan itu, ahli keluarga mangsa mengingatkan orang ramai agar terus memakai topeng muka dan kekal di rumah jika berasa tidak sihat. Mereka turut berpesan kepada para peniaga agar kerap mengelap permukaan dan menjaga jarak.

North Carolina mempunyai kira-kira 31,000 kes koronavirus dengan lebih 900 kematian.

Sebelum ini, COVID-19 dipercayai lebih berbahaya kepada golongan berusia, namun kini saintis khuatir jika ia turut menyebabkan reaksi keradangan yang boleh menyebabkan kematian dalam kalangan kanak-kanak.

Sumber: Metro UK

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.