Siakap Keli

Insentif Cukai, Langkah Khusus Bantu 900,000 PKS, Usahawan Tempatan Terkena Tempias COVID-19 – PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah dan insentif cukai untuk membantu lebih 900,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan tempatan yang turut menerima kesan akibat wabak COVID-19.

Menurut beliau, bagi menggalakkan penubuhan entiti baharu PKS, kerajaan bersetuju untuk memberikan rebat cukai pendapatan sehingga RM20,000 bagi setiap tahun untuk tempoh tiga tahun taksiran pertama tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

“Rebat cukai pendapatan ini diberikan kepada syarikat baharu yang ditubuhkan dan beroperasi antara 1 Julai 2020 dan 31 Disember 2021.

Bagi menggalakkan PKS meningkatkan daya saing dalam menjalankan perniagaan melalui skim pencantuman dan pemerolehan, katanya kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian duti setem ke atas surat cara berkaitan pencantuman atau pemerolehan bagi transaksi yang disempurnakan antara 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen termasuk Bernama TV.

Kerajaan memperkenalkan PENJANA dengan tema Bersama Menjana Ekonomi sebagai langkah segera untuk membangun dan merancakkan semula ekonomi negara untuk jangka masa pendek merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion.

Perdana menteri berkata kerajaan turut menghargai usaha yang dilakukan oleh Perusahaan Sosial dalam mengimbangi matlamat perniagaan dan tanggungjawab sosial.

“Saya dimaklumkan semasa tempoh PKP, walaupun beberapa Perusahaan Sosial sukar untuk beroperasi, namun mereka terus berusaha mengumpul dana untuk membantu masyarakat yang disasarkan terutamanya golongan yang terpinggir.

“Kerajaan akan menyediakan geran padanan melalui Malaysian Global Innovation and Creativity Center (MaGIC) berjumlah RM10 juta kepada Perusahaan Sosial yang berjaya mengumpul sumbangan untuk melaksanakan projek sosial bagi menangani isu yang dihadapi oleh komuniti sasar dengan menggunakan kaedah inovatif,” jelasnya.

Muhyiddin berkata secara umumnya, COVID-19 telah mengubah cara ekonomi beroperasi.

“Bagi terus menjadikan negara kita sebagai destinasi pelaburan utama, penting untuk kita memberitahu dunia bahawa ekonomi kita tetap berdaya saing dan terbuka untuk perniagaan.

“Malaysia kini berada di kedudukan ke-12 di dunia dalam kategori kemudahan menjalankan perniagaan dan ke-3 di Asia Pasifik.

“Sehubungan itu, PENJANA akan mengumumkan beberapa pakej dan program pelaburan, insentif pengecualian cukai dan kemudahan pembiayaan yang inklusif,” jelasnya.

Sumber: Bernama

Nor Azilah

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)