Siakap Keli
Gambar: Bernama

46 Ingkar PKPB Di Pusat Hiburan Ditahan

KUALA LUMPUR, 6 Jun — Seramai 46 individu ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika berkunjung ke sebuah pusat hiburan di Kota Damansara,  dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya,  ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata dalam serbuan jam 8.45 malam itu,  kesemua individu berusia 18 hingga 47 tahun itu dikenakan kompaun RM1,000 selaras Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Selain mereka, katanya, seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun turut ditahan dalam serbuan itu kerana mengupah pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah, selain pihaknya turut merampas resit dan wang tunai berjumlah RM3,550.

“Lapan warga asing berusia 21 hingga 38 tahun yang berada dalam premis turut ditahan kerana melanggar syarat visa lawatan dan disyaki bekerja di premis itu. Mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/633 dan Seksyen 39(b) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963,” katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain,  empat lelaki berusia 25 hingga 54 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di daerah Petaling Jaya, awal pagi ini.

Nik Ezanee berkata pihaknya turut mengeluarkan lapan saman atas pelbagai kesalahan trafik dan kesemua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan berasingan,  Nik Ezanee berkata polis berjaya menumpaskan sindiket curi dalam bangunan dengan menahan tujuh lelaki tempatan di Bangunan Tropicana Grande dekat sini,  petang semalam.

Menurutnya,  suspek berusia lingkungan 16 hingga 53 tahun ditahan kira-kira 3.30 petang dan berjaya merampas pelbagai hasil curian barangan rumah antaranya sofa, televisyen,  peti sejuk dan kerusi serta meja.

“Kesemua suspek ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, ” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right