Siakap Keli
Gambar: Bernama

Ahmad Idham Dilantik Sebagai CEO FINAS Baharu – FINAS

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini mengumumkan pelantikan pengarah dan pelakon Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS yang baharu berkuat kuasa hari ini sehingga 6 Jun 2022.

Pengerusi FINAS Zakaria Abdul Hamid dalam kenyataannya hari ini berharap dengan pelantikan Ahmad Idham, FINAS akan terus menjana kecemerlangan sebagai sebuah badan yang menggalak, memelihara dan memajukan industri perfileman tanah air.

Beliau berkata selain pengumuman pelantikan itu, FINAS juga menyambut baik peruntukan sebanyak RM225 juta sebagai insentif rangsangan ekonomi kepada industri kreatif negara menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Zakaria berkata beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif negara akan dikawal selia oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

“FINAS ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap pembangunan semula sektor ekonomi industri kreatif negara yang telah terjejas akibat penularan wabak COVID-19 dengan mendapatkan insentif dan dana,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memperkenalkan PENJANA dengan tema ‘Bersama Menjana Ekonomi’ sebagai langkah segera untuk membangun dan merancakkan semula ekonomi negara untuk jangka masa pendek merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion.

Sementara itu, Ahmad Idham ketika dihubungi berkata inilah masanya untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha bagi membangunkan semula ekonomi (industri kreatif negara).

“Ini satu saat yang sukar, saya tahu (apabila) saya terima (pelantikan) ini, ia sukar. Namun, saya yakin dengan pucuk kepimpinan baharu, kita akan berjaya. 

“Saya percaya dengan pengalaman dan pengetahuan yang saya ada, saya boleh membantu untuk merancang balik ekonomi,” katanya.

Ahmad Idham sebelum ini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 11 Mac 2019.

Bagaimanapun, pada 9 Dis tahun lalu, Ahli Lembaga Pengarah FINAS telah menerima dan meluluskan, permohonan Ahmad Idham  untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan kepada 10 Mac 2020.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.