Siakap Keli
Gambar: Bernama

JAIS: Kursus Pra-Perkahwinan Secara Dalam Talian

SHAH ALAM, 6 Jun, (Bernama) — Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan untuk melaksanakan Kursus Pra-perkahwinan Islam (KPPI) secara dalam talian bermula 13 Jun depan.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata, permohonan untuk mengikuti KPPI secara dalam talian itu boleh dibuat, menerusi pautan yang disediakan mengikut daerah di Selangor, bermula Selasa ini.

Beliau berkata, jumlah maksimum penyertaan peserta dalam setiap sesi penganjuran KPPI dalam talian tersebut, adalah 150 orang.

“Dua sesi penganjuran pada hari cuti hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad, akan dibuat mengikut keperluan.

“Sesi pertama bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari, manakala sesi kedua bermula jam 2 petang sehingga 6 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, pemohon yang telah memohon akan menerima jemputan kursus tersebut melalui e-mel masing-masing.

Katanya, setelah itu setiap peserta perlu mengikuti langkah-langkah yang telah dinyatakan, sehingga selesai mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Sijil hanya akan diberikan kepada peserta yang berjaya menyelesaikan tugasan yang diberikan, dan mereka boleh mengambil sijil serta nota KPPI, di kaunter pendaftaran tempat mereka mendaftar.

“Transaksi serah terima sijil, nota KPPI dalam talian dan pembayaran fi, hendaklah dibuat selepas lima hari bekerja dan tidak melewati 30 hari bekerja, selepas peserta berjaya menyelesaikan tugasan dalam KPPI dalam talian,” tambahnya.

Katanya, peserta boleh merujuk tatacara lengkap berkaitan pelaksanaan KPPI dalam talian di laman web www.jais.gov.my, Facebook Jabatan Agama Islam Selangor, dan Instagram jabatan.agama.islam.selangor.

JAIS akan mengutamakan peserta yang telah mendaftar dan membuat pembayaran yuran penyertaan, bagi menghadiri KPPI yang tertangguh sejak 18 Mac lepas, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan akibat COVID-19.

“JAIS berharap semua bakal-bakal peserta KPPI dalam talian bersabar, bertenang, dan meneliti semua proses-proses yang ditetapkan, serta menghubungi Bahagian Undang-Undang Keluarga ditalian 017-949 2634 mulai 9 Jun ini, untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan perkara ini,” kata Mohd Shahzihan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right