Gambar:BERNAMA

PKPB: 84 Masjid Di Pahang Dibenar Solat Subuh, Jumaat

KUANTAN, 6 Jun (Bernama) — Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini, memaklumkan sebanyak 84 buah masjid di seluruh negeri dibenarkan mengadakan solat Subuh berjemaah  dan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkata pelaksanaan solat Subuh dan solat Jumaat itu dibenarkan mulai semalam dengan pematuhan terhadap prosedur yang ditetapkan.

Tengku Amir Nasser, dalam kenyataan hari ini, berkata terdapat 13 masjid daerah kategori B iaitu masing-masing dua di Kuantan, Pekan, Temerloh dan Bentong manakala selebihnya di Jerantut, Bera, Raub, Lipis dan Jengka.

Kuantan mencatatkan jumlah masjid kariah paling banyak dibenarkan iaitu tujuh buah diikuti enam di Rompin dan Lipis, manakala masing-masing lima di Pekan, Maran, Temerloh, Bera, Jerantut, Bentong, Raub, Muadzam Shah, Chenor dan Jengka.

Selain itu, dua buah masjid kariah di Cameron Highlands juga dibenarkan untuk mengadakan solat Subuh dan solat Jumaat iaitu Masjid Kayangan Brinchang dan Masjid Kuala Boh.

Pahang sebelum ini menangguhkan semua aktiviti di masjid dan surau termasuk bagi solat jemaah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu sebelum membenarkan solat Jumaat kembali dilaksanakan di masjid terpilih setiap daerah mulai 22 Mei lalu.

Kebenaran melaksanakan solat Jumaat itu, bagaimanapun, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi orang awam, selepas kerajaan negeri berpuas hati dengan sesi percubaan yang diadakan di tiga buah masjid di Kuantan pada 15 Mei lalu.

— BERNAMA

Dapatkan kelengkapan elakkan Covid 19 di SINI

Sofea Shahira

There's always another side to every story

Dari Wiser.my