Siakap Keli
Gambar: APMM

(Video) Detik-Detik Bot Nelayan Asing Ceroboh Perairan Malaysia Ditenggelamkan

Besut, 7 Jun – Dua buah bot nelayan asing yang dianggarkan bernilai RM 2 juta telah berjaya ditenggelamkan oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Terengganu di sini, hari ini untuk dijadikan sebagai tukun tiruan.

Menurut Pengarah Bahagian Keselamatan Dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman bin Hj Abu Hassan, bot-bot nelayan asing yang disabitkan kesalahan dan telah selesai kes akan dilucut hak dan dilupuskan.

“Pelupusan secara menenggelamkan bot-bot ini bertujuan menjadikannya sebagai tukun tiruan bagi menggalakkan biodiversiti marin yang berpotensi menggalakkan pembiakan hidupan laut”, ujarnya.

Tambahnya, pihak Maritim Malaysia sentiasa komited dalam membanteras aktiviti pencerobohan bot nelayan asing yang merompak hasil laut negara, melakukan aktiviti jenayah seperti penyeludupan barangan dan manusia serta kesalahan-kesalahan lain.

“Tindakan tegas diambil bagi mengekang jenayah ini terus dilaksanakan menerusi Op Naga yang dilancarkan sejak April tahun lalu.

“Sehingga Mei 2020, Maritim Malaysia melalui Op Naga telah melaksanakan 6,968 pemeriksaan ke atas vesel dengan 172 tangkapan berjaya dilakukan.  Hasil daripada itu keseluruhan denda, kompuan, nilai tangkapan dan lelongan adalah bernilai RM24.5 juta.”, katanya.

Dalam pada itu, Op Naga ini juga merupakan inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) berdasarkan kertas cadangan Maritim Malaysia yang menyarankan penubuhan Task Force bagi membanteras pencerobohan bot-bot nelayan asing dan telah diluluskan kerajaan pada awal bulan April 2019.

Ianya diketuai oleh KDN dengan kerjasama bersama Kementerian Pertahanan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang bertujuan untuk menangani isu tersebut secara komprehensif.

“Sehingga kini sebanyak 352 bot nelayan asing dan tempatan sudah dijadikan tukun tiruan di Malaysia dan 341 daripadanya telah ditenggelamkan di perairan Pantai Timur.”

Kamaruszaman turut berkata bahawa, kesemua bot yang ditenggelamkan itu adalah bot yang dirampas atas kesalahan menceroboh perairan negara dan menyalahi undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa Maritim Malaysia tetap melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan dalam mengekang pencerobohan bot nelayan asing bagi mengelakkan hasil laut kita dijarah dan mengawal potensi penularan wabak Covid-19 oleh warga asing yang menceroboh perairan negara meskipun negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Sumber: APMM

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa