Siakap Keli
Gambar:BERNAMA

Warga Emas Ditahan, Memandu Bawah Pengaruh Alkohol

SEREMBAN, 7 Jun  — Polis menahan seorang warga emas selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan di Port Dickson semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian 11.05 malam di Jalan Kampung Baru Sirusa itu, lelaki berusia 71 tahun berkenaan yang memandu kenderaan jenis Mercedes telah diarahkan berhenti oleh anggota polis bagi tujuan pemeriksaan.

“Setelah diarahkan berhenti, pemeriksaan yang dijalankan tidak menemukan sebarang barang salah. Seterusnya, pemandu diarahkan menjalani ujian saringan penafasan bagi mengesan alkohol dan didapati bacaan ialah 236 mg alkohol dalam 100 ml darah.

“Pemandu itu kemudian dibawa ke pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah  Port Dickson untuk menjalani sekali lagi ujian saringan penafasan menggunakan alat EBA-11 dan bacaan menunjukkan paras alkohol dalam darah ialah 211 mg alkohol dalam 100 ml darah, melebihi had ditetapkan iaitu 80 mg alkohol dalam 100 ml darah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis berikutan faktor umur dan kes disiasat mengikut  Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story