Siakap Keli
Gambar: Facebook

Lima Sekeluarga Nyaris Maut, Kereta Terbakar Selepas Langgar Lembu

Alor Setar: Lima sekeluarga nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas terbabas akibat terlanggar seekor lembu di Km46.1 Jalan Kulim-Baling-Gerik dekat Baling malam tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Syed Basri Syed Ali berkata kejadian bermula kira-kira 8.15 malam apabila sebuah kereta jenis Honda BRV yang dipandu lelaki berusia 35 tahun dari arah Gerik, Perak menghala ke Kulim telah melanggar dua ekor lembu yang sedang melintas jalan.

“Sebuah lagi kereta jenis Proton Persona yang turut berada di situ telah terlanggar lembu berkenaan sebelum terbabas hingga menyebabkan kenderaan yang dinaiki seorang ibu dan empat anaknya terbakar di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun kesemua mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.24 malam.

”Kesemua mangsa yang  berusia tiga hingga 40 tahun itu berjaya diselamatkan pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu dan kebakaran pula berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba sukarela yang bergegas ke lokasi,” katanya, menambah kenderaan tersebut musnah hampir keseluruhan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.