Siakap Keli

Mangsa Hilang Di Teluk Cowie Ditemukan Sudah Meninggal Dunia

TAWAU, 8 Jun – Mangsa hilang di Teluk Cowie pada Jumaat lepas, Nurul Maslan Sabran, 34, ditemukan, hari ini.

Maklumat itu dikongsikan sendiri oleh adik mangsa, Ismail Sabran, 33, ketika kunjungan media di kediamannya di Taman Apas Permai di sini, pada 10.30 pagi.

Ismail berkata abang kandungnya itu ditemukan berhampiran sempadan perairan Malaysia-Indonesia Pulau Sebatik.

“Saya terima maklumat berkenaan daripada keluarga yang mencari di laut dan menemui jasad.

“Melalui gambar yang dikirimkan kepada saya, abang berpakaian lengkap dan terapung,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail turut mengesahkan menerima panggilan daripada pihak polis mengenai penemuan mayat dan untuk pengecaman.

Sementara itu, Ismail turut memohon supaya bedah siasat ke atas mangsa dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

Pada Jumaat lepas, anggota Pasukan Polis Marin (PPM) bertugas di Laut Ice Box terjumpa sebuah perahu yang berputar dengan enjin masih hidup tetapi tanpa jurumudi pada 5.50 petang.

Sebelum itu, mangsa difahamkan dari Tanah Besar Tawau mahu ke Sungai Melayu pada 2.30 petang sebelum perahunya ditemui pasukan keselamatan.

Rata-rata sahabat handal dan ahli keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang