Siakap Keli

Pasar Pagi, Pasar Malam Di Johor Beroperasi Semula Mulai 15 Jun 2020

JOHOR BAHRU, 8 Jun – Kerajaan Johor membenarkan pasar pagi dan malam beroperasi semula secara terkawal bermula 15 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Ayub Jamil berkata kebenaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melihat tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh peniaga dan pengunjung.

“Pasar pagi dan pasar malam ini juga akan dibenarkan beroperasi mengikut tempoh masa ditetapkan PBT masing-masing serta hanya boleh menjalankan urus niaga secara belian terus (take away) serta tidak membuka ruang berlakunya himpunan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ayub, antara SOP yang harus dipatuhi ialah memastikan pasar diadakan dalam kawasan lapang dan berpagar bagi memudahkan kawalan keluar masuk pengunjung, gerai dijarakkan antara 1.5 meter dan 2.0 meter selain pengunjung dan peniaga perlu memakai pelitup separuh muka.

Peniaga juga perlu berdaftar dengan aplikasi MySejahtera dan Jejak  Johor bagi membolehkan pihak Kementerian Kesihatan menjejaki kontak rapat sekiranya berlaku penularan COVID-19.

“PBT juga boleh mengambil tindakan penutupan serta-merta sekiranya peniaga gagal mematuhi SOP ditetapkan dan pasar dilihat berada dalam keadaan tidak terkawal,” katanya.

Ayub berkata sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas, Johor mempunyai 4,409 peniaga pasar pagi dan 23,184 peniaga pasar malam di 53 lokasi pasar pagi dan 194 pasar malam di semua kawasan PBT negeri.

Beliau bagaimanapun menjangkakan jumlah lokasi pasar dan peniaga berkurangan apabila kedua-dua pasar tersebut beroperasi semula 15 Jun ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos ini yang akan menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalankan aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang