Siakap Keli

Wanita Dakwa Ditipu Urusan Tawaran Kerja Anak

KUANTAN, 8 Jun – Seorang wanita membuat laporan polis mendakwa diperdayakan seorang lelaki dalam urusan mendapatkan kerja untuk anak perempuannya di sebuah syarikat minyak dan gas yang kononnya berpangkalan di Pekan, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 59 tahun juga mendakwa telah membuat bayaran sebanyak RM3,500 kepada suspek berusia 31 tahun dan berasal dari Felda Keratong, Rompin pada Sabtu lepas.

“Suspek dikatakan mula menawarkan peluang pekerjaan di syarikat minyak dan gas itu sekitar hujung tahun lalu, namun semasa itu mangsa mendakwa anak perempuannya tidak berminat.

“Bagaimanapun, mangsa mendakwa suspek sekali lagi menawarkan kerja sebagai kerani baru-baru ini dengan gaji RM4,800 yang turut meliputi kemudahan tempat tinggal,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata suspek juga didakwa meminta mangsa menyerahkan dokumen peribadi anaknya dan membuat bayaran sebanyak RM8,000 yang dikatakan sebagai wang proses untuk anak mangsa mendapatkan lesen sebelum dibenarkan bekerja.

Bagaimanapun, mangsa yang beranggapan jumlah itu terlalu tinggi telah merayu kepada suspek untuk dikurangkan dengan kedua-dua pihak akhirnya bersetuju pada kadar RM3,500 yang perlu didepositkan ke akaun suspek.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas kakak iparnya memaklumkan nama suspek sudah disebut-sebut orang sekitar Felda Keratong, Rompin kerana dikatakan telah banyak menipu penduduk di situ.

“Mangsa mendakwa telah ke rumah keluarga suspek semalam, untuk bersemuka namun dimaklumkan mereka sudah tidak tahu di mana suspek berada,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang