Siakap Keli

Covid-19: Singapura Catat 218 Kes Baharu, Jumlah Keseluruhan Cecah

Singapura: Singapura melaporkan 218 kes baharu COVID-19 setakat tengah hari ini dengan majoriti daripada mereka yang dijangkiti virus itu adalah warga asing yang menghuni asrama pekerja sekali gus meningkatkan jumlah kumulatif kepada 38,514 kes.

Daripada 218 kes baharu itu, hanya enam tinggal dalam komuniti tempatan dan kesemuanya adalah pemegang pas pekerja, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) republik tersebut.

Tiada kes baharu yang membabitkan rakyat atau penduduk tetap Singapura, katanya.

Menerusi data lengkap yang dikeluarkan pada lewat Isnin, Singapura mengklasifikasikan sejumlah 1,745 sebagai kes komuniti, 580 sebagai kes import dan 35,971 sebagai kes membabitkan warga asing yang menghuni asrama pekerja.

Secara keseluruhan, sebanyak 25,368 kes jangkitan COVID-19 atau kira-kira 66 peratus daripada jumlah kumulatif semalam iaitu 38,296 telah discaj dari hospital atau kemudahan isolasi komuniti.

Setakat Isnin, terdapat sejumlah 269 kes yang disahkan masih berada di hospital dengan empat pesakit kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sementara itu, sejumlah 12,634 kes yang mempunyai gejala ringan atau disahkan sihat dari segi klinikal namun diuji positif COVID-19 diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 25 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi selepas dijangkiti COVID-19 di republik itu.

Empat kluster baharu telah dikenal pasti pada Isnin yang membabitkan asrama pekerja di 216 Tagore Lane, 9B Tech Park Crescent, 16 Tech Park Crescent dan 115 Tuas View Walk 1.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.