Siakap Keli

Rimas Pakai ‘Braces’ Lama-Lama? Ini Sebab Kenapa Anda Perlu Pakai Pendakap Gigi Dalam Tempoh Yang Lama

Biasanya mereka yang mengalami masalah gigi,  akan menggunakan cara yang paling mudah dengan menggunakan pendakap gigi atau braces untuk membaik pulih gigi yang bermasalah dan rosak itu.

Namun, segelintir daripada mereka berasa runsing tentang tempoh pemakaian braces. Jangan risau, ini penjelasannya yang perlu anda tahu. Semoga dapat membantu anda…

Apa itu pendakap gigi?

Ia adalah sejenis alatan yang digunakan pada gigi untuk membetulkan kedudukan gigi yang tidak teratur. Secara saintifiknya, pemakaian pendakap gigi dikenali sebagai ortodontik dan ia hanya boleh dilakukan oleh pakar  pergigian yang diiktiraf. Jadi jangan pula anda mendapatkan rawatan ini daripada individu yang tidak bertauliah atau kesan bahaya menanti anda!

Siapa yang perlu menggunakan braces?

Baiklah, kita sudah tahu apa itu pendakap gigi. Persoalannya, siapa yang perlu menggunakannya?

Dalam erti kata yang mudah, individu yang mempunyai masalah susunan gigi tidak teratur perlu menggunakan braces untuk membetulkan kedudukannya.

Namun, anda sendiri tidak boleh menilai sama ada gigi anda memerlukan rawatan ortodontik atau tidak. Keperluan untuk menlakukannya adalah bergantung kepada tahap keterukan gigi anda.

Jadi, sebaiknya sila dapatkan pemeriksaan dan rundingan daripada pakar.

Berikut merupakan gambaran tahap keterukan gigi berserta keperluan untuk menggunakan pendakap gigi:

Gred 1 hingga 4: Tidak perlu rawatan atau sedikit keperluan untuk rawatan

Gred 5 hingga 7: Sederhana

Gred 8 hingga 10: Perlu rawatan

Berapa lama tempoh pemakaian braces?

Berbalik kepada persoalan utama artikel, berapa lamakah tempoh pemakaian braces yang sebenarnya?

Menurut Dr. Radolsky yang merupakan pakar pergigian dari Amerika, ia adalah bergantung kepada beberapa faktor:

  • Jenis rawatan

Maksudnya di sini adalah jenis braces yang pesakit gunakan.

Umumnya, terdapat pelbagai pilihan jenis pendakap gigi seperti metal bracesceramic braces dan clear braces. Kesemuanya ini memerlukan tempoh masa yang berbeza untuk membetulkan kedudukan gigi pesakit.

  • Usia pesakit

Pesakit yang lebih muda (individu kanak-kanak dan remaja) cenderung untuk mendapatkan hasil dengan lebih cepat kerana rahang mereka masih dalam proses membesar, maka lebih mudah gigi untuk dibetulkan.

Secara tidak langsung menjadikan tempoh pemakaian braces kurang daripada 3 tahun.

Pesakit yang lebih berusia atau dewasa  pula sudah tentu akan mendapatkan hasil yang sedikit lambat. Namun, terdapat juga faktor lain yang menentukan tempoh ini.

  • Tahap keterukan masalah gigi

Antara faktor yang memainkan peranan penting dalam penentuan tempoh masa pemakaian braces adalah tahap keterukan masalah gigi anda.

Jika pesakit mempunyai masalah gigi seperti spacing atau crowding yang agak teruk, maka akan lebih lama pesakit perlu menggunakan pendakap gigi.

Secara kasarnya, pendakap gigi mungkin akan dipakai selama tempoh 1 hingga 3 tahun, bergantung kepada individu.

Selepas ia dibuka pula, pesakit masih perlu memakai retainer semasa sedang tidur, untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 6 bulan.

Tiada had khusus

Apa yang boleh disimpulkan di sini, tiada tempoh yang tepat untuk menentukan berapa lama seseorang itu perlu memakai pendakap gigi. Segalanya lebih bergantung kepada beberapa faktor yang melibatkan individu itu sendiri.

Namun, tempoh purata dan kebiasaan bagi seseorang individu memakai pendakap gigi adalah selama 1 hingga 3 tahun.

Sumber: Hello Doktor

Nor Azilah