Siakap Keli

Tanah Perkuburan Islam Di Itali Semakin Berkurang, Wanita Dilapor Terpaksa Simpan Jenazah Ibu Mangsa COVID-19 Lebih 10 Hari Dirumah

Umat Islam di Itali kini menghadapi kesukaran apabila tanah perkuburan bagi pengebumian jenazah pesakit COVID-19 yang beragama Islam di sana semakin tidak mencukupi.

Situasi itu bertambah runcing apabila kadar kematian akibat virus berkenaan semakin meningkat saban hari.

Para imam dan ketua komuniti Muslim kini memerlukan lebih banyak ruang untuk dijadikan sebagai tanah perkuburan Islam.

Imam Masjid Milan Sesto, Abdullah Tchina berkata, “Kami menghadapi kesukaran akibat pandemik, tetapi beban itu semakin bertambah apabila sesetengah keluarga tidak mempunyai tanah untuk mengebumikan jenazah kerana tiada perkuburan Islam di bandar ini,”.

Setakat ini, kira-kira lebih 34,000 orang telah terkorban akibat COVID-19 di Itali, kebanyakannya di kawasan perindustrian di utara.

Tidak kurang juga, operasi penerbangan udara yang telah dihentikan sejak beberapa bulan lalu turut menambahkan lagi beban tersebut hingga menyebabkan jenazah COVID-19 beragama Islam tidak dapat dihantar pulang untuk dikebumikan di negara asal mereka.

Keadaan di salah sebuah masjid di Itali. Gambar: agensi

Simpan jenazah ibu selama 10 hari di rumah

Salah satu kes paling ekstrem yang berlaku adalah melibatkan seorang wanita Macedonia, Hira Ibrahim yang menetap di Pisogne, berdekatan bandar utara Brescia.

Ibu kepada wanita tersebut merupakan salah seorang mangsa korban COVID-19.

Berdasarkan laporan berita tempatan; La Repubblica, akibat tiada tanah perkuburan Islam yang mencukupi, Hira terpaksa menyimpan jenazah ibunya di dalam rumah selama lebih 10 hari.

Difahamkan, situasi seperti itu sebenarnya turut dialami oleh beberapa keluarga Muslim yang lain yang menghadapi masalah sama.

Tiada nisan, tanda kawasan kubur hanya guna susunan batu kerikil

Sementara itu di sebuah tanah perkuburan di bandar Bruzzano, seorang lagi individu, Mustapha Moulay, 50, terpaksa menggunakan batu-batu kerikil kecil sebagai tanda kawasan kubur arwah isterinya yang turut meninggal dunia kerana  COVID-19 pada usia 55 tahun.

“Semoga Allah merahmatinya,” jelasnya.

Kawasan kubur yang ditanda hanya menggunakan susunan batu. Gambar: agensi

Kubur tersebut tidak dipacak batu nisan (seperti kebiasaan kubur-kubur Muslim), cuma sekadar ditanda dengan batu kerikil berbentuk empat segi mengikut saiz kubur.

Ia berbeza dengan kubur-kubur jenazah lain yang dikebumikan (terlebih dahulu) sebelum pandemik bermula, di mana ia lebih kelihatan lengkap dengan batu nisan serta kepungan (kepok).

Memetik laporan itu lagi, antara keputusan yang terpaksa diambil kebanyakan Muslim di Itali adalah mencari tanah perkuburan yang sangat jauh dari tempat mereka, atau meninggalkan jenazah di bilik mayat selama berhari-hari atau menyimpannya di rumah sementara mencari ruang perkuburan baru.

Kongsi tanah kubur dengan Kristian

Bagaimanapun, imam Abdullah Tchina menyatakan, walaupun gelombang kematian akibat COVID-19 agak mula reda namun masalah kekurangan perkuburan Islam masih lagi belum dapat diatasi.

Menurutnya, ada yang terpaksa menempuh jarak sejauh 50 kilometer semata-mata untuk mengebumikan jenazah.

Justeru, pihak gabenor telah membantu menyediakan sebahagian ruang perkuburan Katholik untuk dikongsikan kepada perkuburan Muslim.

Selain itu, Presiden Pusat Islam Milan, Gueddouda Boubakeur berkata, sesetengah keluarga di Brescia dan Bergamo; dua kawasan tertinggi jangkitan COVID-19 telah menunggu sejak sekian lama peluang tersebut.

“Terima kasih, berkat usaha pihak perbandaran dan pemerintah pusat, akhirnya masalah ini dapat juga diselesaikan.

“Kami tidak memikirkan tentang jarak. Kami pergi ke bandar pertama yang menerima jenazah. Keutamaan kami kini adalah untuk mencari ruang (perkuburan Muslim),” katanya.

Komuniti Muslim di Itali dianggarkan seramai 2.6 bilion atau 4.3 peratus daripada keseluruhan populasi di negara itu.

Kebanyakannya tinggal di bahagian utara negara, kira-kira 56 peratus daripadanya adalah warganegara, sementara lainnya berhijrah dari Afrika Utara dan Asia Selatan.

Sumber: Jakarta Post

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.